
Kumpulan murid itu mengadakan protes duduk bantah setelah mereka dihalang kembali bersekolah. Foto Agensi
UMM AL-KHAIR – Tentera Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah kanak-kanak Palestin selepas puak Yahudi melarang mereka ke sekolah.
Rejim Zionis mengesahkan kejadian itu atas alasan untuk menyuraikan ‘perhimpunan haram’ di Umm al-Khair, sebuah perkampungan kecil di Masafer Yatta, selatan Tebing Barat.
Kumpulan kanak-kanak itu sepatutnya kembali ke sekolah pada Isnin selepas sesi pembelajaran mereka dihentikan sementara susulan Perang Iran meletus pada 28 Februari lalu.
Mereka bersama beberapa penduduk Palestin berkumpul berhampiran pagar kawat berduri yang didirikan komuniti Yahudi untuk menyekat akses ke sekolah.
“Zionis melemparkan kanister pemedih mata ke arah kami yang hanya duduk di situ. Kami semua lari bertempiaran kerana terlalu takut,” kata Sarah al-Hathaleen, 12.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan di Masafer Yatta memaklumkan mereka akan meneruskan protes duduk bantah sehingga kumpulan murid tersebut dapat kembali bersekolah. – Agensi



