Zon sekolah perlukan pemandu lebih sabar

Zon sekolah perlukan pemandu lebih sabar

Tiada siapapun yang ingin menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Begitulah dengan kita sebagai ibu bapa yang setiap pagi menghantar anak-anak ke sekolah. Fenomena biasa yang sering terjadi ialah sikap saling berlumba hendak cepat khususnya di persekitaran hadapan masuk pagar sekolah.

Di situlah kita akan nampak adanya pelbagai sikap dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak mereka. Masing-masing seakan tidak mahu kalah dalam usaha membolehkan si anak tiba di sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Begitu juga halnya dengan murid yang datang dengan menaiki kenderaan awam seperti bas sekolah ataupun van. Sikap ambil mudah terhadap aspek keselamatan nyawa murid memberi gambaran bahawa sikap saling cakna memelihara nyawa tidak termasuk dalam perkiraan fikiran. Janji, semua murid dapat sampai ke sekolah dalam masa yang telah diwartakan oleh pihak pengurusan sekolah.

Antara waktu puncak di hadapan sekolah ialah di waktu pagi semasa murid memasuki kawasan sekolah dan tidak kurang juga situasinya apabila sesi pembelajaran tamat di waktu tengah hari atau petang. Hiruk-pikuk dengan pelbagai kenderaan yang sedang menunggu murid.

Hadapan sekolah seolah-olah dijadikan kawasan parkir kenderaan sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas. Tambah memeritkan apabila ada kalangan pemandu kenderaan yang membawa murid tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. Had laju yang ditetapkan tidak pernah dihiraukan, asalkan mereka dapat mengambil murid dengan cepat.

Secara jujur saya katakan bahawa sikap ithar, iaitu mengutamakan orang lain tidak dijadikan pegangan semasa memandu, sebaliknya apa yang jelas kelihatan ialah sikap mementingkan diri sendiri sahaja. Soal keselamatan nyawa orang lain, anak-anak orang lain bukan lagi satu persoalan yang perlu diambil berat.

Sesungguhnya, tanpa sikap ithar, ia memungkinkan timbulnya pelbagai risiko negatif yang tidak diingini. Sikap ithar, iaitu mendahulukan kepentingan orang lain atau bertolak ansur di jalan raya sangat penting untuk membina budaya pemanduan yang selamat, harmoni dan berhemah. Dalam konteks feqah jalan raya, sifat ini adalah kunci untuk mengurangkan risiko kemalangan yang sering berpunca daripada sikap mementingkan diri sendiri

Sebenarnya kawasan hadapan sekolah semasa pergi hantar dan ambil anak-anak/murid, adalah kawasan zon kritikal yang apabila kurang berhati-hati, maka pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku. Usah kita lalai dan ambil sikap mudah apabila berada di kawasan tersebut. Sentiasalah fikirkan aspek utamakan keselamatan anak kita dan nyawa anak-anak orang lain.

Allah SWT telah ingatkan kita menerusi firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan.”

Saya sendiri pun pernah melalui situasi cemas semasa berada di kawasan hadapan sekolah semasa mahu menurunkan anak perempuan saya, Anis Fariha yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Muadzam Jaya. Ada ketikanya apabila terlewat untuk menghantar dia, maka saya terpaksa memecut sedikit laju melebihi gaya pemanduan biasa.

Ya, saya jujurnya telah bersikap tidak lagi mengguna pakai sikap ithar kerana mengejar masa dan dalam masa sama terpaksa bergegas lagi untuk sampai ke dewan kuliah di Politeknik Muadzam Shah. Pelajar saya pasti terunggu-tunggu sekiranya saya terlewat sampai.

Namun, apabila memikirkan kembali sikap buruk saya itu membuatkan saya termenung banyak waktu apabila terpapar pelbagai kejadian yang menyedihkan yang melibatkan kemalangan di kawasan hadapan sekolah. Saya mesti membuang jauh sejauhnya sikap gelojoh dan terburu-buru untuk menghantar anak saya ke sekolah mahupun untuk saya sampai di dewan kuliah pengajaran saya di politeknik.

Termenung lama kerana membayangkan betapa ngeri dan buruknya kesan bersikap gelojoh tanpa hirau kepentingan orang lain semasa memandu. Biarpun sudah terlambat, saya berazam dalam diri supaya tidak sama sekali akan memandu dengan gaya pemanduan mengancam nyarwa orang lain. Terdetik dalam titik kesedaran hati, sesaat kita lalai, risikonya gembira boleh bertukar menjadi duka.

Biarlah ada orang lain berkata, ‘Biar cepat asalkan selamat,’ tetapi bagi diri sendiri, saya seharusnya kekal dengan watak, ‘Biar lambat asalkan selamat’ semasa menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah. Semasa kita gelojoh untuk sampai ke apapun destinasi seperti menghantar dan mengambil anak-anak kita di sekolah, ada ketinya kita sudah lupa untuk berpegang kepada prinsip etika memulakan perjalanan. Kita pandu sahaja dengan tidak lagi berdoa, malah mungkin hati sudah jauh dari rasa tawakal.

Sedangkan, usaha, doa dan tawakal adalah ‘kabel terbaik’ untuk kita memohon kepada Allah agar mana-mana perjalanan yang kita lakukan berada dalam situasi selamat dan mendapat rahmat-Nya. Usaha, doa dan tawakal itulah yang seharusnya terus-menerus kita gunapakai dalam melakukan sebarang perbuatan, apatah lagi semasa kita menghantar dan mengambil anak di sekolah. Kita tentunya tidak inginkan yang buruk-buruk berlaku ke atas anak kita, juga sama sekali tidak melihat kejadian ngeri terjadi kepada anak orang lain.

Jadi, bersamalah kita saling cakna memelihara nyawa anak kita dan saling menjaga nyawa anak orang lain. Ingatlah bahawa Allah ada berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

Marilah kita bersama berusaha sedayanya untuk elak hindari sikap berisiko bahaya kerana keselamatan nyawa anak kita, anak-anak orang lain perlu diutamakan. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Usah sampai nasi sudah menjadi bubur. Selagi kita beriktiar, insya Allah, Allah akan melindungi diri kita dan anak-anak orang lain daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

Sayangilah nyawa anak kita, caknakanlah keselamatan nyawa anak.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top