Fenomena pesara yang suatu ketika dahulu memiliki simpanan besar tetapi akhirnya hidup dalam kesempitan bukan lagi kisah terpencil. Dalam realiti masyarakat hari ini, semakin ramai pesara berhadapan tekanan kewangan selepas bersara, walaupun pernah menerima jumlah wang besar hasil pengeluaran simpanan persaraan. Persoalannya, ke manakah hilangnya wang tersebut?
Kisah ini sering bermula dengan jumlah simpanan yang kelihatan mencukupi. Ada yang menerima ratusan ribu ringgit, malah ada juga yang mencecah jutaan ringgit. Namun tanpa perancangan kewangan yang teliti, wang tersebut boleh habis dalam tempoh yang singkat. Perbelanjaan tidak terkawal, pelaburan tanpa ilmu, serta sikap terlalu pemurah antara faktor utama menyumbang kepada keadaan ini.
Antara punca utama ialah kegagalan mengurus kewangan dengan bijak. Ramai pesara melihat wang persaraan sebagai ‘ganjaran’ selepas bertahun-tahun bekerja, lalu menggunakannya untuk memenuhi keinginan yang tertangguh. Pembelian barangan mewah, pengubahsuaian rumah secara besar-besaran serta gaya hidup yang meningkat secara mendadak menyebabkan wang cepat susut. Tanpa bajet dan perancangan jangka panjang, simpanan yang sepatutnya bertahan puluhan tahun boleh habis dalam beberapa tahun sahaja.
Lebih membimbangkan, pesara juga adalah antara sasaran utama scammer. Golongan ini sering dianggap memiliki simpanan yang besar serta kurang pendedahan terhadap teknologi dan taktik penipuan terkini. Scammer mengambil peluang dengan menawarkan pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. Ada yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa, mencipta situasi panik dan memaksa mangsa membuat keputusan segera. Tanpa semakan lanjut, pesara mudah terpedaya dan akhirnya kehilangan wang dalam jumlah yang besar dalam sekelip mata.
Kes terbaru melibatkan seorang guru tuisyen yang kerugian hampir RM1 juta wajar dijadikan pengajaran besar kepada masyarakat. Dalam kejadian tersebut, mangsa dilaporkan menerima mesej mendakwa terdapat transaksi mencurigakan melibatkan akaun banknya. Mangsa kemudian dihubungi individu menyamar sebagai pegawai bank dan seterusnya disambungkan kepada ‘pegawai penyiasat.’ Melalui perbualan berterusan, mangsa dipaksa memberi maklumat perbankan termasuk kod pengesahan (OTP) serta melakukan beberapa transaksi pemindahan wang. Keseluruhannya, hampir RM920,000 lesap melalui puluhan transaksi dalam tempoh singkat.
Apa yang lebih membimbangkan, mangsa individu berpendidikan, sekali gus membuktikan scammer tidak menyasarkan kelemahan intelektual, tetapi kelemahan emosi. Teknik digunakan melibatkan tekanan psikologi seperti ugutan pembekuan akaun, ancaman tindakan undang-undang serta arahan segera tanpa ruang untuk berfikir. Dalam keadaan panik, mangsa bertindak tanpa semakan lanjut, menyebabkan kerugian besar.
Tidak kurang juga, faktor emosi memainkan peranan besar dalam kemerosotan kewangan pesara. Ramai terlalu memanjakan anak-anak hingga sanggup korbankan simpanan sendiri. Ada yang memberi wang dalam jumlah besar untuk membantu anak membeli rumah, memulakan perniagaan atau menyelesaikan hutang. Selain itu, kos penganjuran majlis perkahwinan anak yang besar menjadi penyumbang kepada penyusutan simpanan. Walaupun niatnya baik, ia sering dilakukan tanpa mengambil kira keperluan diri sendiri pada masa hadapan.
Sikap memberi pinjam tanpa kawalan menjadi antara punca. Ramai pesara yang memberi pinjaman kepada ahli keluarga atau kenalan tanpa sebarang perjanjian jelas. Malangnya, ada yang tidak mampu bayar hingga pesara hilang simpanan mereka. Dalam jangka panjang, keadaan ini menjejaskan kestabilan kewangan dan emosi.
Selain itu, ada pesara yang terlibat dalam pelaburan atau perniagaan tanpa ilmu mencukupi. Terpengaruh dengan rakan atau kenalan, mereka melaburkan wang dalam projek yang tidak difahami sepenuhnya. Ketiadaan analisis risiko dan pengetahuan asas menyebabkan mereka terdedah kepada kerugian yang besar. Situasi ini menunjukkan bahawa pendidikan kewangan adalah elemen yang sangat penting, terutamanya dalam fasa persaraan. Malangnya, ramai menganggap perancangan kewangan hanya relevan semasa masih bekerja. Sedangkan hakikatnya, pengurusan kewangan selepas bersara lebih kritikal kerana tiada lagi aliran pendapatan tetap. Oleh itu, pesara perlu ada pelan kewangan jelas termasuk bajet bulanan, strategi pelaburan yang selamat serta simpanan kecemasan.
Sebagai langkah pencegahan, beberapa prinsip asas perlu diamalkan. Pertama, pesara perlu kawal perbelanjaan dan bezakan antara keperluan dan kehendak. Kedua, elak membuat pelaburan tidak difahami atau menjanjikan pulangan terlalu tinggi. Ketiga, berhati-hati dengan tawaran mencurigakan dan sentiasa amal sikap ‘semak dan sahkan.” Keempat, hadkan bantuan kewangan kepada anak-anak mengikut kemampuan sebenar.
Kesimpulannya, masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap pesara. Mereka tidak seharusnya dilihat sebagai sumber kewangan keluarga semata-mata. Sebaliknya, setiap pesara berhak menikmati kehidupan yang selesa hasil usaha mereka sepanjang hayat.
Penulis Pensyarah Kanan di Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




