Zoo minta orang ramai dermakan haiwan peliharaan sebagai makanan pemangsa

Zoo minta orang ramai dermakan haiwan peliharaan sebagai makanan pemangsa
Singa merupakan antara haiwan pemangsa yang dipelihara di Zoo Aalborg yang terletak di utara Denmark.

Singa merupakan antara haiwan pemangsa yang dipelihara di Zoo Aalborg yang terletak di utara Denmark.

COPENHAGEN – Sebuah zoo di Denmark mencetuskan kontroversi selepas meminta orang ramai mendermakan haiwan peliharaan mereka seperti ayam, arnab dan tikus belanda untuk dijadikan makanan kepada haiwan pemangsa di zoo berkenaan.

Permintaan itu diumumkan oleh Zoo Aalborg dalam satu kenyataan minggu lalu, dengan alasan bahawa pihaknya bertanggungjawab meniru rantaian makanan semula jadi demi kebajikan haiwan dan integriti profesional.

“Kami mahu memastikan tiada pembaziran dan pada masa sama memelihara tingkah laku semula jadi, pemakanan dan kesejahteraan pemangsa kami,” menurut laman rasmi zoo tersebut.

Namun, kenyataan itu menerima kritikan hebat di media sosial apabila ramai pengguna menyuarakan rasa tidak setuju terhadap amalan berkenaan.

Selain haiwan kecil, zoo itu turut menyatakan bahawa mereka menerima sumbangan kuda yang akan ditidurkan secara berhemah sebelum disembelih untuk dijadikan makanan.

Bagaimanapun, pihak zoo memaklumkan bahawa keperluan mereka berubah mengikut musim dan terdapat senarai menunggu bagi sumbangan kuda.

Pemilik kuda yang menyumbangkan haiwan tersebut turut boleh menuntut pelepasan cukai berdasarkan nilai haiwan itu.

Zoo Aalborg memaklumkan bahawa mereka hanya akan menerima ayam, arnab dan tikus belanda pada hari bekerja antara jam 10 pagi hingga 1 petang, dengan had maksimum empat ekor bagi setiap penghantaran.

ABC News melaporkan bahawa pihaknya telah menghubungi pihak zoo untuk mendapatkan komen lanjut.

Amalan seperti ini bukan sesuatu yang asing di Denmark. Pada tahun 2014, Zoo Copenhagen pernah mengundang kemarahan orang ramai selepas membunuh seekor zirafah yang sihat sebelum bangkainya diberikan kepada haiwan pemangsa.

Beberapa minggu selepas itu, empat ekor singa termasuk dua anak singa turut ditidurkan untuk memberi ruang kepada singa jantan baharu yang lebih dominan, selepas pihak zoo memaklumkan bahawa singa-singa berkenaan tidak mampu mempertahankan diri.

“Jika anda memiliki haiwan yang perlu dilepaskan atas pelbagai sebab, sila dermakan kepada kami. Haiwan-haiwan ini akan ditidurkan dengan penuh berhemah oleh kakitangan terlatih dan digunakan sebagai makanan,” kata Zoo Aalborg.

Scroll to Top