Lando sebak kongsi kematian rakan akibat kemalangan jalan raya

Lando sebak kongsi kematian rakan akibat kemalangan jalan raya

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan aktivis masyarakat, Lando Zawawi yang sering kelihatan lantang bersuara dalam pelbagai isu terutama jalan raya, dilihat menangis buat pertama kali di khalayak ramai.

Lando atau nama sebenarnya, Azlan Sani Zawawi, 50, yang juga pengasas Ikatan Silaturahim (Brotherhood) ketika itu tampil sebagai tetamu di sebuah podcast untuk berkongsi pengalamannya.

Dia kemudian tidak dapat mengawal perasaan apabila bercerita mengenai kematian seorang rakan yang terkorban dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori.

Menurutnya, semasa dia dan pasukannya aktif menjalankan aktiviti menurap jalan secara sukarela, seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang, menawarkan diri untuk turut serta.

“Nama dia arwah Botak. Dia punca kenapa saya bertanding dalam Pilihanraya Umum Tanjung Karang. Masa dia pertama kali nak join saya, dia follow saya turap jalan berata-rata.

“Kami turap banyak lubang di Rawang, Kuala Selangor, sampai Kuala Lumpur. Dia turap pakai tangan, sampai saya cakap kau ini gila. Dia kata dia nak ajar tangannya berbudi.

“Sebabnya bila meninggal nanti dia kata, mulut akan dikunci dan malaikat akan tanya anggota kita, apa yang anggota kita buat? Saya pun tak fikir jauh sangat,” ceritanya.

Menurutnya, suatu hari dia menerima berita kematian Botak terbabit dengan kemalangan motosikal dengan lori yang membuat pusingan u di tempat yang tidak dibenarkan.

“Saya minta, mereka hantar gambar. Saya tengok jarinya berada dalam keadaan orang mengucap Syahadah. Allah boleh bagi peluang pada dia. Saya ini tak tahu lagi.

“Mukanya bersih. Masa kebumi terlalu ramai orang datang. Saya dah biasa pergi kebumi seniman dan seniwati, tak seramai ini. Masa di kubur dia, saya dapat bau benda wangi.

“Bau itu ikut saya sampai beberapa kilometer. Sebab itu saya bertanding dekat Tanjung Karang. Itu kampung dia. Dia pun cakap nak berjasa dekat Tanjung Karang. Jalan sana teruk,” katanya.

Walaupun kalah, Lando tetap puas hati kerana sempat menurap jalan sembilan sekolah di Tanjung Karang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top