Zubimendi pilih Arsenal, ganti tempat Jorginho dan Partey

Zubimendi pilih Arsenal, ganti tempat Jorginho dan Partey

London: Arsenal mengesahkan ketibaan pemain tengah bertahan, Martin Zubimendi, dari Real Sociedad menerusi kontrak jangka panjang, sekali gus memperkukuhkan posisi tengah yang terjejas selepas pemergian beberapa tonggak bulan lalu.

Walaupun butiran kewangan perpindahan tidak diumumkan, laporan media Britain mendedahkan pemain berusia 26 tahun itu mempunyai klausa pelepasan bernilai €60 juta (RM307 juta) dalam kontraknya bersama Sociedad yang sepatutnya berakhir pada 2027.

Zubimendi menjadi rekrut kedua Arsenal dalam jendela perpindahan ini selepas penjaga gol Kepa Arrizabalaga, ketika pengendali The Gunners, Mikel Arteta, berusaha memperkemas skuad yang sudah tiga musim berturut-turut sekadar naib juara Liga Perdana Inggeris.

“Ini detik penting dalam kerjaya saya. Ia perpindahan yang saya cari dan memang saya mahukan,” kata Zubimendi dalam kenyataan pertamanya sebagai pemain Arsenal.

“Sejurus menjejak kaki ke sini, saya sedar betapa besar kelab dan pasukan ini. Saya memilih Arsenal kerana gaya permainan mereka serasi dengan saya. Mereka sudah menunjukkan potensi besar dan saya percaya yang terbaik masih belum tiba.”

Kehadiran pemain kebangsaan Sepanyol itu memberikan nafas baharu di bahagian tengah Arsenal selepas Jorginho dan Thomas Partey meninggalkan kelab hujung bulan lalu sebaik kontrak mereka tamat.

Dikenali dengan kepantasan, keupayaan mengatur tempo permainan dan kekuatan bertahan, Zubimendi dijangka mengisi peranan penting sebagai perancang bertahan nombor enam.

Ia juga membolehkan Declan Rice, Pemain Terbaik Arsenal musim lalu, diberi peranan lebih menyerang bersama kapten Martin Odegaard.

Zubimendi turut menyinar bersama skuad Sepanyol apabila membantu negara itu menjulang gelaran Euro 2024 selepas menggantikan Rodri yang cedera dalam aksi final.

Dia turut mencetak gol pada final Liga Negara-Negara bulan ini sebelum Sepanyol tewas kepada Portugal menerusi penentuan penalti.

Kehadirannya awal dalam kem pramusim bakal memberi masa kepada Arteta untuk menyelaraskan peranan Zubimendi sebelum aksi pembukaan musim baharu yang getir menanti Arsenal, termasuk bertemu Manchester United, Liverpool, Manchester City dan Newcastle United dalam enam perlawanan pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top