Zubimendi tidak ke Anfield

Zubimendi tidak ke Anfield

London: Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengumumkan bahawa sasaran utama perpindahan, Martin Zubimendi, ‘memutuskan untuk tidak datang’ ke Anfield dari Real Sociedad.

Pemenang Euro 2024 itu dikenal pasti sebagai calon terbaik untuk mengisi peranan tengah bertahan untuk Liverpool yang akan menjadi tanda aras utama mereka sejak Slot menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus.

“Saya sudah banyak kali katakan bahawa skuad kami sangat kuat dan tidak mudah untuk mencari pemain yang boleh membantu atau memperbaiki skuad,” kata Slot dari Belanda kepada pemberita.

“Zubimendi adalah salah seorang daripada mereka, tetapi dia memutuskan untuk tidak datang. Kami akan meneruskan dengan pemain yang ada. (Wataru) Endo beraksi baik dalam pramusim.

“Kami berada di tempat yang baik. Richard (Hughes, pengarah sukan Liverpool) sedang berusaha untuk memperkuatkan skuad. Zubimendi memutuskan untuk tidak datang, kami membuat segala usaha. Jika seorang pemain memutuskan untuk tidak datang, maka jelas dia tidak akan datang.”

Slot menegaskan Liverpool masih boleh mencabar gelaran selepas menamatkan musim lalu di tempat ketiga walaupun tanpa tambahan pemain baharu ke Anfield.

“Hujah itu saya tidak faham – jika anda tidak memperkuatkan pasukan, anda akan menjadi lebih lemah,” kata Slot.

“Itu agak pelik kerana biasanya anda akan tetap sama – dan saya benar-benar percaya bahawa di padang latihan anda boleh membantu pemain dan pasukan untuk meningkat, dan itu juga yang berlaku di sini dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di mana padang latihan benar-benar membantu pasukan untuk berkembang.

“Jika anda terus membawa masuk pemain, kadang-kadang tenaga dalam kumpulan juga boleh menurun.”

© New Straits Times Press (M) Bhd