Zul Ariffin bukan punca putus tunang

KUALA LUMPUR – “Kami putus bukan sebab Zul Ariffin atau orang ketiga,” demikian ulas pelakon Intan Najuwa mengenai hubungannya dengan bekas tunang Razrul Anwar Rosli yang kembali menjadi perhatian.

Malah turut memalit nama aktor berbadan sasa, Zul dalam plot cerita hubungannya dengan Razrul.

“Memang hubungan saya dan dia (bekas tunang) 100 peratus retak tanpa babitkan orang ketiga mahupun Zul. Kami putus pertengahan tahun lalu.

“Kasihan Zul dibabitkan sekali. Sedangkan dia tak tahu menahu. Nak kecam, kecam saya bukan babitkan orang lain,” kata Intan atau nama penuhnya, Intan Najuwa Abdul Wahid

Menurut pelakon yang meledak menerusi drama Kekasih Paksa Rela itu, punca kehambaran hubungannya berlegar antara dia dan bekas tunang.

“Sebelah dia (bekas tunang) pun perlu menjaga nama baik dan kerjayanya. Begitu juga saya.

“Kami cuba meneruskan hubungan dan memperbaiki kelemahan yang ada selepas pernah putus tunang sebelum ini. Tapi semua itu tak dapat diteruskan kerana tiada persefahaman lagi.

“Kami berpisah secara baik. Tak ada gaduh. Jodoh antara kami tak panjang. Saya juga mahu terus fokus kerjaya,” katanya.

Intan berkata, hubungannya dengan bekas tunang dia hanya pernah putus tunang sekali pada Februari tahun lalu.

“Saya harap penjelasan sudah tak ada ikatan ini akan meleraikan tanda tanya. Sampai ada yang ingat kami putus tunang dan sambung semula.

“Tak ada istilah kami putus tunang dua kali. Hubungan antara saya dan dia memang merumitkan

” Biasalah adat bercinta ada turun naik. Tapi tak perlulah saya kongsi terlalu mendalam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Intan rancak meneruskan kerjaya seninya.

“Drama Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3 terbitan Zeel Production juga akan mula disiarkan bermula 29 Mac ini.

“Drama arahan Emi Suffian itu diterajui saya dan Redza Rosli. Fendy Bakry dan Azza Elite pun berlakon.

“Kini saya sedang melunaskan penggambaran drama untuk bulan Ramadan berjudul Mencantum Cinta bergandingan dengan Naqiu,” katanya.

Terdahulu, Zul ketika ditemui selepas tayangan perdana dan pratonton filem Penunggang Agama di Petaling Jaya turut menafikan yang dirinya menjadi orang ketiga dalam hubungan Intan dan Razrul. – MalaysiaGazette