Bila berlakunya ‘Microsleep’?

Lifestyle: Pernah tak anda tidak perasan lampu isyarat bertukar menjadi hijau atau tiba-tiba kenderaan anda memasuki lorong sebelah? Anda mungkin mengalami apa yang dipanggil oleh para saintis sebagai Microsleep.

Ramai yang tidak mengetahui tentang Microsleep dan mungkin mengambil mudah tentang perkara ini. Microsleep secara asasnya adalah manusia tertidur atau terlelap dalam beberapa saat. Orang yang mengalaminya mungkin tidak sedar ianya berlaku.

Ada ketikanya Microsleep berlaku ketika manusia sedang melakukan perkara yang penting seperti memandu, mengendalikan mesin dan lain-lain yang boleh membahayakan nyawa.

“Microsleep dalam bahasa mudah adalah bila manusia terlelap beberapa saat tanpa disedari. Mungkin semasa menonton tv, memandu, mesej dalam telefon dan lain-lain lagi”, tulis Dr Nimelesh menerusi Twitter miliknya.

Persoalannnya, bilakah Microsleep berlaku. Sebagai pengetahuan, Microsleep kerap berlaku ketika badan manusia telah ‘diprogramkan’ untuk tidur, seperti waktu awal pagi dan juga waktu tengahari.

Ianya akan menjadi bertambah buruk apabila manusia ‘berhutang’ waktu tidur. Dalam perkatan lain, semakin sedikit waktu tidur seseorang, semakin tinggi peluang Microsleep untuk terjadi pada dirinya.

Saintis tentang tidur menetapkan permulaan tidur anda adalah dalam 15 saat pertama dalam tempoh jangka masa 30 saat.

“Bukan bermakna seperti cahaya terus dipadamkan, tetapi cahaya semakin berkurang dan berkurang hinggalah tiada lagi cahaya tersebut”, terang Dr W. Christopher Winter.

Justeru, pengajarannya adalah jagalah kadar tidur anda agar mencukupi untuk mengelakkan Microsleep seterusnya menjaga kesihatan diri .

Sumber: Gempak

Akmal Hakim
Lifestyle Desk