The Bridge 2 Mendominasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Drama The Bridge musim ke-2 meletakkan karya Malaysia mampu berentap dengan naskhah antarabangsa lain di seluruh Asia. Ia kerana 23 kategori yang didominasi menerusi tiga anugerah antarabangsa bukanlah satu khayalan, sebaliknya satu kenyataan.

Syarikat produksi Malaysia, Double Vision mendominasi kategori awal dengan 10 kemenangan menerusi dua drama, The Bridge musim kedua dan sitkom reboot, Kopitiam: Double Shot menerusi Asian Academy Creative Awards (AACA) 2020.

Pengumuman dilakukan menerusi siaran langsung Facebook (FB) rasmi anugerah berkenaan yang menyaksikan penganjur mengumumkan wakil setiap negara yang menang pada pertengahan Oktober lalu.

Kemenangan itu melayakkan syarikat produksi yang mewakili Malaysia berentap ke peringkat seterusnya dalam acara kemuncak AACA 2020 pada 4 dan 5 Disember 2020 yang menyaksikan persaingan antara 15 negara Asia.

Ketua Jabatan dan Penerbit Eksekutif, Double Vision, Min Lim berkata bahawa 8 pencalonan menerusi drama The Bridge 2 secara tidak langsung membuatkan kerja keras dan perbelanjaan besar yang diberikan dalam menjayakan naskhah itu berbaloi.

“Tidak dinafikan, drama bersiri ini melalui pelbagai cabaran yang mana musim pertamanya mengambil dua tahun untuk ditayangkan. Kami berterima kasih kepada Viu dan HBO yang sudi menayangkan sekali gus menjadikan ia sebagai siri pertama Malaysia yang ditayangkan di HBO”, katanya.

“Itu bermaknanya drama The Bridge 2 ditonton di 30 negara apabila ditayangkan di dua saluran berkenaan. Ia sudah cukup membuatkan kami berbangga, ditambah pula dengan berita baik menerusi kemenangan awal menerusi AACA 2020. Double Vision amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini”, katanya lagi.

“Mungkin jika mahu dibandingkan dengan naskhah negara Asia lain, drama The Bridge 2 tidak besar, tetapi diberi penghargaan mewakili Malaysia dikira memadai dan berbaloi bagi kami”, ujarnaya kepada BH Online.

8 kategori yang dicalonkan menerusi AACA 2020 adalah Drama Terbaik, Adaptasi Drama Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Bront Palarae), Pelakon Wanita Terbaik (Rebecca Lim), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Miller Khan) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Aida Aris).

Menerusi adaptasi daripada siri asal Endemol Shine dengan suntikan elemen tempatan, drama penuh mendebarkan itu diarahkan oleh tiga sutradara iaitu TJ Lee, Jason Chom dan Zahir Omar.

Siri itu menampilkan barisan pelakon menerusi kerjasama dari Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti Bront, Ario Bayu dan Rebecca.

Bukan hanya itu, Min berkata The Bridge 2 juga disenaraikan menerusi 11 kategori di Asian Television Awards dan 4 kategori di Content Asia Awards.

“Keseluruhannya, The Bridge 2 berjaya memperoleh 23 nominasi menerusi tiga anugerah di peringkat kebangsaan. Ini semua adalah suatu pencapaian luar biasa. Ia juga seperti satu penghargaan buat kami selepas bekerja keras untuk menjayakan naskhah ini”, katanya.

AACA adalah anugerah tahunan di Singapura yang diketuai Singapore Media Festival dan dianjurkan Media Development Authority (IMDA) of Singapore.

Acara kemuncak AACA 2020 dijadualkan berlangsung 4 dan 5 Disember ini. Bagaimanapun, AACA 2020 belum dipastikan sama ada dilangsungkan secara dalam talian atau seperti kelazimannya di Singapura berikutan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, The Bridge musim pertama pernah dicalonkan menerusi dua kategori, Adaptasi Drama Terbaik dan Drama Terbaik pada AACA pada 2019. Bagaimanapun, tewas dengan naskhah dari negara Korea dan India.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk