Kerusi Presiden FAM kembali panas

Kerusi Presiden FAM kembali panas

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka kembali menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Kongres Pemilihan badan induk itu yang dijadual berlangsung pada 17 September depan.

Difahamkan, tarikh penghantaran boran pencalonan sudah pun ditutup pada Ahad lalu dengan ura-ura terdapat dua calon berminat mengisi jawatan Presiden FAM.

Menurut sumber, perkembangan itu membuka peluang untuk pertandingan bagi merebut jawatan nombor satu FAM selepas beberapa penggal menyaksikan penyandang menang tanpa bertanding.

Sumber itu berkata, sekiranya menjadi kenyataan, pertandingan berkenaan disifatkan sebagai perkembangan positif kerana memberi ruang kepada ahli gabungan membuat pilihan terhadap calon yang dianggap paling layak untuk menerajui hala tuju bola sepak negara.

“Ia satu persaingan yang sihat dan selaras dengan amalan demokrasi. Ahli-ahli gabungan berhak menilai sendiri calon yang menawarkan visi terbaik untuk memimpin FAM pada masa depan.

“Pertandingan bukan bermaksud wujud perpecahan, sebaliknya memberi peluang kepada ahli memilih pemimpin yang mempunyai kemampuan serta perancangan terbaik untuk memacu bola sepak negara,” kata sumber berkenaan.

Kali terakhir jawatan Presiden FAM menyaksikan pertandingan adalah pada Kongres Pemilihan 2014 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdepan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam saingan merebut jawatan tertinggi badan induk itu.

Pada pemilihan berkenaan, Al-Sultan Abdullah berjaya memenangi jawatan Presiden selepas memperoleh sokongan majoriti perwakilan, manakala Tunku Ismail yang ketika itu semakin menyerlah dalam arena pentadbiran bola sepak negara tewas dalam perebutan itu.

Selepas itu, jawatan Presiden FAM tidak lagi dipertandingkan apabila penyandang atau calon yang dicalonkan menang tanpa bertanding dalam beberapa siri pemilihan berikutnya.

Antara yang pernah mengisi jawatan presiden tanpa dicabar ialah Tunku Ismail (2017-2018), diikuti Tan Sri Hamidin Mohd Amin (2018-2025) dan Datuk Joehari Ayub (Februari 2025-Ogos 2025).

Jika benar pertandingan dua penjuru bakal berlaku September nanti, ia sekali gus menamatkan penantian lebih sedekad untuk menyaksikan perebutan jawatan Presiden FAM, selain memberi isyarat bahawa badan induk bola sepak negara memasuki fasa baharu yang lebih kompetitif dalam menentukan kepimpinan tertinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top