Letshanaa tersungkur awal Terbuka China

Letshanaa tersungkur awal Terbuka China

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa sekali lagi terkandas di pusingan pertama selepas tersingkir pada aksi pembukaan Terbuka China, hari ini.

Pemain ranking ke-28 dunia itu terpaksa mengakui keunggulan wakil Amerika Syarikat, Beiwen Zhang apabila tewas straight set 16-21, 15-21 dalam tempoh 34 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou.

Kekalahan itu menyaksikan Letshanaa gagal melepasi pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut selepas turut mengalami nasib sama di Terbuka Jepun minggu lalu apabila tunduk kepada pemain Korea Selatan, Kim Gaewun.

Kegagalan Letshanaa meneruskan kemaraan menyaksikan harapan Malaysia dalam acara perseorangan wanita kini terletak kepada seorang lagi wakil negara, Wong Ling Ching.

Ling Ching akan memulakan kempen Terbuka China esok apabila dijadual berdepan pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin dalam aksi pusingan pertama.

Sementara itu, cabaran beregu wanita negara turut berakhir awal apabila Ong Xin Yee-Carmen Ting tersingkir selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada pasangan Taiwan, Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh.

Gandingan muda negara itu memulakan saingan dengan baik sebelum tewas 23-21, 20-22, 14-21 untuk menamatkan kempen mereka di pusingan pertama.

Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah akan memulakan kempen mereka esok apabila berdepan gandingan Jepun, Ririna Hiramoto-Kokona Ishikawa pada pusingan pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top