City didapati bersalah 114 pertuduhan

City didapati bersalah 114 pertuduhan

Manchester: Manchester City didapati bersalah atas 114 daripada 115 pertuduhan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkaitan pelanggaran peraturan kewangan, menurut laporan pada Jumaat, dalam keputusan yang dijangka memberi kesan besar kepada bola sepak England.

Tiada hukuman diputuskan setakat ini dan difahamkan kelab berkenaan akan mengemukakan rayuan.

EPL enggan mengulas ketika dihubungi AFP mengenai perkembangan terbaru kes berkenaan yang pertama kali dilaporkan The Athletic.

City mendominasi bola sepak England sejak lebih sedekad lalu, namun reputasi kelab kini dipertaruhkan dan mereka berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat selepas proses perbicaraan mengambil masa dua tahun.

Kelab yang mendapat sokongan Abu Dhabi itu didakwa oleh EPL pada 2023 selepas siasatan terhadap dakwaan pelanggaran peraturan antara 2009 hingga 2018.

Perbicaraan oleh suruhanjaya bebas bermula pada September 2024.

City didakwa gagal memberikan maklumat kewangan yang tepat serta butiran pembayaran kepada pemain dan jurulatih, selain melanggar peraturan kelestarian kewangan.

Mereka turut didakwa gagal memberikan kerjasama dalam siasatan.

City menafikan semua pertuduhan berkenaan dan mendakwa kes mereka disokong oleh “bukti menyeluruh yang tidak boleh disangkal”.

Jurucakap kelab berkata pada Jumaat bahawa pendirian mereka masih sama.

“Proses EPL masih berjalan dengan beberapa perkara penting masih perlu diselesaikan serta tertakluk kepada kerahsiaan ketat.

“Oleh itu, pendirian Manchester City FC kekal seperti dalam kenyataan kelab pada Februari 2023.

“Kelab mematuhi proses sewajarnya selama lapan tahun berdasarkan andaian bahawa lembaga dan pihak pengurusan EPL akan bertindak sebagai badan pengawal selia yang bebas, tidak berat sebelah dan adil, tanpa pengaruh kepentingan tertentu.”

Media Jerman, Der Spiegel, sebelum ini menerbitkan dokumen yang didakwa bocor termasuk e-mel yang dikatakan dihantar antara pegawai kanan City pada 2018.

Media itu mendakwa dokumen berkenaan menunjukkan kelab meningkatkan nilai hasil penajaan daripada syarikat penerbangan Etihad dan firma telekomunikasi Etisalat yang dikawal kerajaan Abu Dhabi dengan menyamarkan pelaburan langsung Sheikh Mansour melalui Abu Dhabi United Group sebagai pendapatan.

Dokumen lain pula didakwa menunjukkan bayaran luar rekod kepada bekas pengurus Roberto Mancini menerusi yuran perundingan daripada sebuah kelab di Abu Dhabi.

Pada 2020, UEFA mengenakan penggantungan dua tahun daripada pertandingan Eropah serta denda terhadap City kerana melanggar peraturan kewangan, namun hukuman berkenaan kemudian dibatalkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Jika didapati bersalah, City boleh dikenakan pelbagai hukuman termasuk pemotongan mata besar dan kemungkinan disingkirkan daripada EPL.

Everton dan Nottingham Forest masing-masing dikenakan pemotongan mata pada musim 2023/24 kerana melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian kewangan.

Hukuman berat turut boleh menimbulkan persoalan mengenai masa depan barisan pemain bintang City termasuk penyerang berbisa Erling Haaland.

Kelab lain juga berpotensi menuntut supaya gelaran kejuaraan dilucutkan serta menuntut pampasan.

“Pingat EPL lain untuk dimasukkan ke dalam kabinet,” tulis bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand, yang menjadi sebahagian daripada skuad United yang menamatkan saingan di tempat kedua di belakang City pada musim 2011/12.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top