PUTRAJAYA: Kerajaan dicadang menubuhkan Dana Ekuiti Pendidikan Bumiputera bagi membantu syarikat pendidikan swasta bumiputera berkembang selepas syarat pemilikan 30 peratus ekuiti dimansuhkan.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, dana itu bukan sekadar melindungi syarikat bumiputera, tetapi membantu mereka bersaing dan mengembangkan perniagaan.
Katanya, dana itu boleh digunakan untuk melabur dalam syarikat pendidikan bumiputera yang berpotensi, membantu mengambil alih institusi pendidikan sedia ada serta menyediakan skim pelaburan bersama kerajaan, institusi kewangan dan pelabur swasta.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Cadangan ini wajar dimasukkan dalam Belanjawan 2027 dengan dana permulaan sekitar RM100 juta bagi menyokong pemilikan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Isnin lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian itu.
Syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.
Menurut Anuar, dalam ekonomi pendidikan masa depan, pemilikan tidak semestinya terletak pada bangunan sekolah atau kampus, sebaliknya diperluaskan dalam teknologi, data, kandungan dan harta intelek.
Untuk itu, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada sektor pendidikan dan latihan yang sedang berkembang seperti kecerdasan buatan, kandungan digital dan platform pembelajaran.
Pada masa sama, katanya, syarikat pendidikan bumiputera perlu disokong untuk mencapai skala yang lebih besar melalui modal pertumbuhan, pengurusan profesional, penggabungan dan kerjasama strategik.
“Pendekatan ini mengubah strategi dan dasar daripada hanya melindungi penyertaan bumiputera kepada membina daya saing bumiputera dalam industri pendidikan swasta.
“Tiba masanya untuk menjayakan pendidikan swasta bumiputera, kita ukur pemilikan, bukan sekadar penyertaan. Oleh itu, wajar juga dipertimbangkan mewujudkan Data Pemilikan Bumiputera dalam Industri Pendidikan Swasta.
Beliau berkata, antara indikator yang boleh diukur ialah nilai aset pendidikan yang dimiliki, nilai ekuiti syarikat, jumlah institusi pendidikan milik bumiputera dan jumlah syarikat pendidikan termasuk nilai pelaburan, kadar pertumbuhan syarikat dan jumlah pekerja.




