AFP
London: Bekas pemain tengah Manchester City, Rodri percaya kelab itu akhirnya mampu memenangi pertikaian undang-undang dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun laporan semalam mendakwa gergasi England itu didapati bersalah atas 114 pertuduhan.
Keputusan berkenaan masih belum diterbitkan dan tiada hukuman diputuskan setakat ini.
Namun, perkembangan itu sudah menggemparkan bola sepak England dengan spekulasi City mungkin diturunkan divisyen menerusi pemotongan mata yang besar atau gelaran yang dimenangi sebelum ini dilucutkan.
Kelab itu didakwa melanggar peraturan kerana gagal memberikan maklumat tepat berkaitan pembayaran kepada pemain dan jurulatih, selain melanggar peraturan kelestarian kewangan.
City sebelum ini turut didapati bersalah oleh UEFA pada 2020 kerana melanggar peraturan kewangan dan dikenakan penggantungan daripada pertandingan Eropah selama dua tahun sebelum memenangi rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Kami melalui proses yang sama pada 2020.
“Kelab sentiasa memberi jaminan kepada kami bahawa mereka akan dibebaskan daripada sebarang salah laku dan tidak akan dikenakan hukuman kerana tiada perkara tidak wajar dilakukan.
“Kami mempercayai kelab dan akhirnya mereka dibebaskan,” kata Rodri pada sidang media menjelang pertemuan Sepanyol dengan England dalam Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi esok.
Rodri menjaringkan gol kemenangan ketika City memenangi satu-satunya gelaran Liga Juara-Juara (UCL) pada 2023, antara 12 trofi utama yang dimenanginya bersama kelab itu.
“Saya percaya kelab yang saya kenali dengan baik itu akan dibebaskan, berdasarkan jaminan yang diberikan kepada kami ketika itu bahawa mereka melakukan segala-galanya mengikut peraturan.”
Dua musim terakhir Rodri bersama City dibelenggu kecederaan, namun dia kembali ke prestasi terbaik pada Piala Dunia untuk membantu Sepanyol muncul juara.
Kejayaan La Roja pada Euro 2024 menyaksikan Rodri merangkul anugerah Ballon d’Or pada tahun berkenaan dan dia sekali lagi antara calon untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia.
Namun, berbeza dengan beberapa calon lain seperti Kylian Mbappe dan rakan sepasukan di peringkat antarabangsa, Lamine Yamal, Rodri tidak percaya dia perlu mempromosikan pencalonannya secara terbuka untuk anugerah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




