Enggan ambil risiko berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Komposer dan Penyanyi, Hael Husaini belum berani mengikut jejak langkah rakan seperjuangan untuk terjun ke dunia lakonan demi meneruskan kelangsungan hidup pada saat pandemik COVID-19 berterusan.

Pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 itu belum bersedia mengambil risiko biarpun persembahan pentas secara terbuka belum dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saat ini, saya belum terlintas mahu berlakon. Saya tak pandai dan kekok berlakon di depan kamera. Saya juga mempunyai masalah menghafal skrip. Jika skrip pendek pun terkial-kial, apatah lagi yang panjang berjela. Namun, mungkin sekarang saya belum bersedia, tak tahulah pada masa akan datang”, katanya kepada BH Online.

“Saya akui ramai yang terjejas teruk berikutan rutin kerja kebiasaan tidak dapat dilakukan. Saya turut terjejas selepas tawaran persembahan dibatalkan dan ditunda. Agak pahit menelan semua ini, namun apa daya, saya tak mampu melawan ketentuan ini. Saya bernasib baik masih memiliki tuntutan kerja lain seperti menghasilkan karya untuk penyanyi lain selain meneruskan kempen jenama dan produk dalam media sosial termasuk iklan komersial”, katanya.

Dalam perkembangan lain, Hael kini rancak mempromosikan single Lara bersama Haqiem Rusli dan Naim Daniel. Single Lara ciptaannya bersama dua penyanyi berkenaan serta komposer, MFMF.

Hael berkata bahawa single Lara membawa maksud yang jelas iaitu kesedihan menceritakan perasaan yang remuk akibat dikecewakan seseorang. “Namun, peminat bebas meletakkan interpretasi masing-masing berdasarkan pengalaman”, katanya yang muncul dengan single Terlanjur Cinta bersama Cakra Khan pada awal tahun ini.

Sementara itu, Hael berjaya membolosi empat lagu ciptaannya iaitu Hati, Canggung, Belenggu Rindu dan Peluang Kedua dalam Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk