KWSP mula bertoleransi dengan tuntutan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat mula bertoleransi dengan tuntutan rakyat apabila mengambil
langkah memperluaskan skop i-Sinar.

Langkah tersebut  merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

i-Sinar bakal memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli terlibat.

Dalam satu kenyataan KWSP memaklumkan, ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember ini.
Jumlah akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. Pengkreditan pertama akan bermula Januari 2021.

“Jumlah pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1) akan mempunyai akses sehingga 10 peratus.

Namun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.

Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.
Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.
Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.

 

ZA137 Malay News

National Desk