Nadal masih mahu berjuang

London: Jaguh tanah liat, Rafael Nadal menegaskan bahawa dia masih mempunyai peluang memburu kejuaraan sulung ATP Finals di sebalik kekalahan 7-6 (9/7), 7-6 (7/4) oleh pemain Austria, Dominic Thiem, awal pagi tadi.

Thiem mengatasi Nadal di O2 Arena untuk menyukarkan usaha bintang Sepanyol itu memburu satu daripada kejuaraan utama yang tertinggal daripada koleksi trofi peribadi pemain itu.

Thiem menjadi pemain pertama layak ke peringkat separuh akhir beberapa jam selepas juara bertahan, Stefanos Tsitsipas menewaskan pemain pilihan ke-7 dari Rusia, Andrey Rublev 6-1, 4-6, 7-6 (8/6).

Tsitsipas memperoleh mata daripada set penentuan sebelum pemain pilihan ke-6 dari Greece itu mencatat kemenangan pertamanya minggu ini.

Nadal yang menumbangkan Rublev dengan straight set pada perlawanan pertamanya namun pemain berusia 34 tahun itu gagal menandingi kemampuan Thiem dalam pertarungan berkualiti tinggi itu.

Kini, Nadal yang kalah dalam final kejohanan itu pada 2010 dan 2013 perlu mengalahkan Tsitsipas dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menghidupkan peluangnya mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.

“Saya fikir dia beraksi dengan hebat dan saya beraksi agak baik juga. Jadi perasaan saya tidak begitu kecewa. Saya kalah, namun saya mempunyai banyak peluang pada awalnya dan kemudian saya gagal di set kedua”, kata Nadal.

“Saya gembira dengan corak permainan saya. Saya fikir peluang saya lebih cerah untuk memperoleh keputusan yang sangat bagus berbanding lima hari lepas kerana tahap permainan tenis itu sendiri. Sekali pun tewas hari ini, pada saya ia mempunyai makna yang cukup tinggi”, katanya lagi.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk