Kuala Lumpur : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus mengorak langkah memperkasa pembangunan ekonomi luar bandar dengan memperkenalkan RisSMart Grocer di Urban Eats@Kwasa Damansara.
Diwujudkan menerusi syarikat milik RISDA iaitu RISDA Agri Food Industries Sdn Bhd (RAFI), platform peruncitan moden ini menjadi penghubung secara terus antara pekebun kecil serta usahawan bimbingan RISDA dengan pasaran pengguna.
Langkah strategik ini bukan sahaja memperluaskan akses pasaran, malah membantu meningkatkan nilai komersial produk serta memperkukuh daya saing usahawan Bumiputera desa dalam industri peruncitan moden.
Sebanyak 269 produk keluaran usahawan bimbingan RISDA dipasarkan di RisSMart Grocer merangkumi pelbagai kategori seperti makanan segar, makanan sejuk beku dan barangan keperluan harian.
Selain menyediakan ruang jualan, RisSMart Grocer turut menawarkan sokongan menyeluruh merangkumi penjenamaan, pembungkusan, pematuhan piawaian keselamatan makanan, strategi pemasaran, penetapan harga serta pengurusan rantaian bekalan.
Mengaplikasikan konsep ‘farm-to-market’, model perniagaan ini berjaya mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, sekali gus meningkatkan margin keuntungan usahawan selain menawarkan harga lebih kompetitif kepada pengguna.
RISDA dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya turut memperkenalkan Pelan Strategik RisSMart 2030 dengan sasaran nilai jualan produk usahawan bimbingannya sebanyak RM30 juta menjelang 2030.
Sasaran berani itu disokong oleh pembangunan ekosistem peruncitan dan pemasaran holistik, termasuk sasaran memasarkan 1,000 variasi produk (SKU) serta pembangunan 25 SKU khusus bawah jenama RisSMart.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi KKDW dan RISDA dalam memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar, di samping menyokong agenda sekuriti makanan negara.
Mengulas mengenai hala tuju rangkaian berkenaan, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, ekosistem RisSMart merangkumi RisSMart24, RisSMart Butchery, RisSMart Grocer, RisSMart Pit Stop serta pusat pengedaran dan pemprosesan.
Menurutnya, ekosistem berkenaan dibangunkan sebagai hab pemasaran produk desa, khususnya daripada komuniti pekebun kecil dan usahawan RISDA.
“Penubuhan RisSMart Grocer memperluas operasi peruncitan serta menghubungkan usahawan secara langsung ke pasaran pengguna,” katanya.
Ketika ini, RAFI mengendalikan 15 outlet RisSMart24 serta tiga outlet RisSMart Butchery, selain merancang membuka lebih banyak cawangan RisSMart Grocer di lokasi strategik di seluruh negara.
Dalam pada itu, sempena memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, RisSMart bakal menganjurkan RisSMart 5 kilometer (km) Fun Run yang akan berlangsung di RisSMart Grocer, Kwasa Damansara pada Ahad, 30 Ogos depan.
Acara larian santai sejauh lima km ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang mahu membudayakan gaya hidup sihat sambil menyemarakkan semangat patriotik.
Penyertaan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Kategori Standard (RM35) yang membolehkan peserta menerima baju larian eksklusif, pingat penamat edisi khas dan beg (drawstring bag) rasmi RisSMart.
Manakala Kategori 5km Team RisSMart (RM120) iaitu terhad kepada 50 penyertaan sahaja. Selain barangan standard, peserta membawa pulang RisSMart Red Duffel Bag eksklusif yang diisi dengan barangan misteri dan kejutan istimewa.
Pelbagai aktiviti sampingan menarik turut disediakan bagi memeriahkan acara seperti senaman zumba, konsert mini, Pertandingan Bakat Bintang Cilik RisSMart, pertandingan mewarna dan jualan kilat (flash sale).
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar lebih awal menerusi pautan rasmi di https://www.ticket2u.com.my/event/51137/rissmart-fun-run-2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




