Tiga faktor punca negara gagal – Sultan Nazrin

Tiga faktor punca negara gagal – Sultan Nazrin

IPOH: Tiga faktor yang menjadi punca negara gagal  meskipun memiliki sumber melimpah ruah, iaitu mempunyai mempunyai institusi yang lemah dan dipimpin oleh pemimpin tidak bertanggungjawab serta politik dikuasai oleh kepentingan peribadi 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, tadbir urus yang baik daripada segi praktikal bermaksud keupayaan menyelaras beberapa elemen penting yang membantu mengukuhkan institusi untuk kekal bertahan lebih lama daripada mana-mana pemimpin atau pentadbiran.

“Ini bermaksud ketelusan dalam cara sumber awam dikumpulkan dan dibelanjakan, memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa sumbangan mereka memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. 

“Ia bermaksud kedaulatan undang-undang yang tidak berat sebelah, agar tiada sesiapa, walau betapa berkuasanya (mereka), tidak terlepas daripada tindakan undang-undang dan tiada sesiapa, walau serendah mana kedudukan mereka, tidak diberikan perlindungan.

“Dan ia bermaksud budaya politik yang mana perbezaan pandangan disantuni dan dihormati, pembangkang dianggap sebagai semak dan imbang dan bukannya musuh dan kuasa bertukar tangan secara aman apabila rakyat memutuskan demikian,” titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2026 (WCIT 2026) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini semalam.

Sultan Nazrin bertitah, apabila rakyat tidak lagi mempercayai pilihan raya adalah adil dan mahkamah adalah bebas, maka struktur negara mula rapuh dan golongan rentan dan
miskin yang paling terkesan.

“Inilah sebabnya prinsip bahawa setiap insan bermakna mesti bermula dari dewan-dewan kerajaan.

“Sesuatu bajet merupakan sebuah dokumen moral sehinggalah ia menjadi sebuah dokumen kewangan, mendedahkan, dalam istilah yang paling nyata, keperluan siapakah
yang dipilih untuk diutamakan oleh sesebuah kerajaan.

“Pemimpin yang memerintah dengan penuh tawaduk, mendengar sebelum mereka menggubal undang-undang, mengingati bahawa kuasa adalah sesuatu yang dipinjam dan
bukannya dimiliki akan lebih berjaya menjamin kesetiaan serta kebanggaan rakyat mereka berbanding apa-apa slogan sekalipun,” titah baginda.

Baginda bertitah ketidakstabilan bukan timbul daripada perbezaan pandangan itu sendiri, tetapi akibat kurangnya peraturan bersama yang digunakan untuk menyelesaikan
sebarang perselisihan faham.-UTUSAN

Scroll to Top