Tak puas hati motosikal disita, lelaki cuba serang anggota trafik

Tak puas hati motosikal disita, lelaki cuba serang anggota trafik

am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Gara-gara tidak berpuas hati motosikal yang ditunggang anaknya disita, seorang lelaki cuba menyerang anggota polis trafik berpangkat Koperal dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada jam 11.20 pagi itu, suspek dikatakan hadir ke kaunter pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Barat Daya bersama isteri, adik iparnya dan peguam bagi menuntut motosikal yang disita.

Difahamkan, isterinya yang juga pemilik motosikal kemudian dibawa ke bilik penyiasatan bagi diberi penerangan mengenai prosedur tuntutan motosikal.

Selepas selesai, suspek yang berusia 40 tahun dikatakan meninggikan suara kerana tidak berpuas hati dengan prosedur berkenaan sebelum cuba menyerang mangsa.

Difahamkan, suspek turut mencabar dan memberi amaran kepada mangsa yang berusia 35 tahun itu supaya berhati-hati selain mendakwa masih tidak berpuas hati dengannya.

Suspek kemudian dikatakan beredar sebelum mangsa sempat meminta pengenalan dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Suspek ditahan pada Sabtu dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top