UKM dan FEW berkerjasama membantu usahawan wanita

Kuala Lumpur: Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Female Entrepreneurs Worldwide (FEW) di Bangunan Canselori UKM, Bandar Baru Bangi hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, MoU itu membolehkan pelajar UKM menimba ilmu Kepimpinan Keusahawanan Wanita secara percuma menerusi portal FEW.

“UKM dan FEW juga akan membantu usahawan wanita dari golongan B40 melalui program konsultasi dalam talian khas yang akan dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

“Peluang penyelidikan dan kajian antara kedua belah pihak juga amat besar. Diharap peluang keemasan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pelajar dan para pensyarah wanita UKM khususnya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

UKM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman manakala FEW diwakili oleh Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anna Wong.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd. Zabri Yusoff.

FEW merupakan organisasi yang menyediakan platform holistik pengajaran, konsultasi dan jaringan pelbagai bidang keusahawanan wanita di peringkat Antarabangsa secara online. – K! ONLINE