Digilis selepas terbabas langgar batu

Klang: Seorang pekerja penyelenggaran mesin maut dalam keadaan menyayat hati apabila digilis sebuah kenderaan dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pintasan Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 11.10 pagi apabila mangsa lelaki dikenali Tan Suan Boon, 40, terbabas selepas motosikal ditunggangi melanggar seketul batu di lorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke Pelabuhan Utara dari Pelabuhan Barat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menggunakan lorong kecemasan telah melanggar seketul batu di atas jalan sebelum terbabas dan jatuh di lorong kiri.
“Mangsa kemudiannya telah digilis di bahagian kepala oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambah beliau, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Justeru, Shamsul Amar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Kosmo

Malay News
National Desk