PKR perlu ubah strategi penerangan – Fahmi

MELAKA: PKR perlu mengubah strategi penerangan bagi memastikan pelbagai kejayaan dan dasar kerajaan dapat difahami dengan lebih baik oleh rakyat khususnya perkara yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian kerajaan dalam aspek makroekonomi sahaja tidak memadai sekiranya manfaatnya masih belum dirasai rakyat terutama berkaitan gaji dan kos sara hidup.

Menurut Fahmi, keadaan itu menyebabkan emosi rakyat boleh mengatasi prestasi kerajaan sekali gus menuntut pendekatan penerangan yang lebih dekat dan mudah difahami masyarakat.

Beliau berkata, pencapaian seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran, perdagangan, rizab antarabangsa, hasil kerajaan dan pelaburan boleh disifatkan sebagai ‘ekonomi periuk’.

“Pencapaian kita tidak kurang dalam soal ekonomi periuk. Tetapi perkara yang dekat dengan rakyat adalah ekonomi perut sebelum sampai ke hati, ia perlu melalui perut. Dari perut, barulah sampai ke hati.

“Segala bahan yang baik dan kejayaan kerajaan mengumpulkan semua perkara yang baik ini masih belum sampai ke perut dan belum masuk ke hati rakyat.

“Isu gaji dan kos sara hidup merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan rakyat benar-benar merasai manfaat daripada dasar dan pencapaian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Fahmi berkata, segala kejayaan yang telah dicapai kerajaan perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat supaya tidak hanya dilihat sebagai angka dan statistik.

Menurutnya, pasukan penerangan PKR akan memperkukuh pendekatan dengan mengadakan lebih banyak ceramah kelompok berskala kecil tetapi dalam jumlah yang banyak bagi membolehkan maklumat disampaikan secara terus kepada rakyat.

Katanya, siri jelajah penerangan itu sudah dimulakan di Klebang dan Sungai Udang malam tadi dan akan diteruskan dengan kerjasama pimpinan cabang.

Scroll to Top