K.O.I tampil mesej kemanusiaan, manfaatkan prop 'DIY' sebelum bergelar juara AJL40

puterialia@hmetro.com.my

Bukit Jalil : Kali pertama bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), kumpulan K.O.I mengakui tidak mampu menyediakan persembahan dengan menggunakan modal tinggi.

Bagi memastikan persembahan mereka dapat disampaikan mengikut konsep yang dirancang, Mya Nana selaku wakil kumpulan itu berkata, mereka memilih untuk menghasilkan sendiri atau DIY pelbagai prop persembahan, termasuk 200,000 keping kertas yang mengandungi mesej kemanusiaan bagi memenuhi ruang Unifi Arena, Bukit Jalil, semalam.

“Sebagai kumpulan yang masih baharu, kami bukan nak cakap kami tidak ada duit, tetapi kami lebih kepada nak buat sendiri mana yang boleh dibuat secara DIY.

“Daripada segi susunan muzik, landskap, kru dan sebagainya, semuanya dibantu oleh kawan-kawan di belakang.

“Kertas yang kami tebarkan dari atas pentas itu pun kami potong sendiri. Jumlahnya mencecah 200,000 keping. Empat hari juga kami buat benda itu,” katanya ketika ditemui selepas persembahan itu.

Berkongsi mengenai gelaran juara yang berjaya disandang di pentas AJL40, K.O.I bijak menjadikan persembahan mereka sebagai medium untuk menyampaikan mesej kemanusiaan mendalam.

Menurut Mya Nana lagi, setiap elemen persembahan yang ditampilkan itu dirancang rapi bagi mendekatkan lagi diri mereka dengan penonton.

“Maksud lagu ini ramai yang dah tahu, tetapi kami letakkan konsep untuk AJL40 ini lebih meluas dan universal. Kami ingin dekat dengan penonton. Sebab itu kami pakai baju warna ini (warna bumi).

“Penari-penari kami pula melakukan gerakan yang menggambarkan kesengsaraan, banyak dugaan untuk anak-anak dan orang-orang yang ditindas. Konsep ini kami serahkan kepada interpretasi penonton sendiri. Apa yang kami sampaikan adalah untuk seluruh dunia,” katanya.

Lagu Tiwikarma itu mendapat sentuhan komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala lirik ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.

Kemenangan itu membolehkan K.O.I membawa pulang trofi kemenangan AJL serta wang tunai berjumlah RM100,000 selepas berjaya menewaskan sembilan lagi finalis dalam saingan kemuncak anugerah berprestij berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top