1.16 tan ketamin dipercayai dipindahkan dari kapal induk asing di Laut Andaman

1.16 tan ketamin dipercayai dipindahkan dari kapal induk asing di Laut Andaman

PETALING JAYA: Kira-kira 1.16 tan ketamin yang dirampas daripada kapal tangki MT Global 168 milik syarikat Malaysia di perairan Indonesia dipercayai dipindahkan dari sebuah kapal induk asing ke kapal terbabit di Laut Andaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat yang diterima daripada Polis Negara Republik Indonesia (Polri) mendapati dadah berkenaan dimuatkan ke dalam MT Global 168 ketika kapal itu berada di laut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketamin berkenaan dipercayai dari sebuah kapal induk yang disyaki dari negara berhampiran semenanjung utara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan maklumat diterima daripada Polri, dadah berkenaan dimuatkan menerusi pemindahan kapal ke kapal di Laut Andaman.

“Kami percaya dadah berkenaan dipindahkan dari sebuah kapal induk di Laut Andaman,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Hussein berkata, meskipun maklumat diterima menunjukkan pemindahan berkenaan berlaku di Laut Andaman namun pihaknya sedang meneliti elemen terbabit daripada pelbagai sudut.

Ujarnya, pihak polis membuka Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menyiasat sekiranya ia mempunyai kaitan dengan sebarang sindiket pengedaran negara ini.

Untuk rekod, pemindahan kapal ke kapal merujuk kepada proses pemindahan kargo secara terus antara dua kapal di laut tanpa perlu mana-mana kapal berlabuh di pelabuhan.

Kaedah berkenaan boleh digunakan untuk tujuan komersial yang sah termasuk pemindahan minyak dan kargo lain.

Antara kargo yang lazim dipindahkan menerusi kaedah itu termasuk minyak mentah, gas cecair (LPG atau LNG), kargo pukal dan produk petroleum.

Media semalam melaporkan sebuah kapal tangki yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai cuba menyeludup 1.16 tan ketamin dimiliki oleh sebuah syarikat yang berdaftar di Malaysia.

Hussein dilaporkan berkata, dua pengarah syarikat yang terbabit dalam pemilikan kapal MT Global 168 itu merupakan warga Malaysia manakala pejabat syarikat berkenaan pula beralamat di Johor Bahru, Johor.

Terdahulu, kapal tersebut dipercayai dikesan melakukan pergerakan luar biasa sejak 14 hingga 18 Oktober lalu sebelum ditahan di perairan Tanjung Balai Asahan.

Kapal ini dipercayai berangkat dari tempat berlabuh di Pasir Gudang, Johor dan singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan bakar sebelum bergerak menuju Laut Andaman.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, kru kapal telah mematikan Automatic Identification System (AIS) selama tiga hari.

Susulan itu, lapan kru kapal membabitkan tujuh warga Indonesia dan seorang China ditahan pada Selasa lalu.-UTUSAN 

Scroll to Top