1.5 juta penyokong hadir perarakan bas Arsenal di London

1.5 juta penyokong hadir perarakan bas Arsenal di London
1.5 juta penyokong hadir perarakan bas Arsenal di London

Lautan Penyokong Arsenal turun menyertai perarakan bas The Gunners di utara London, sekali gus menjadikan ia perarakan terbesar dalam sejarah bola sepak Inggeris.

HAMPIR 1.5 juta penyokong membanjiri jalan-jalan di utara London pada Ahad bagi meraikan kejayaan Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus mencetuskan suasana luar biasa di ibu kota England.

Lautan merah putih itu memenuhi laluan utama sejak awal hari apabila penyokong mula berkumpul, membawa bendera, selendang serta melaungkan sorakan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada The Gunners.

Skuad kendalian Mikel Arteta diarak menggunakan bas terbuka sambil mempamerkan trofi EPL, dengan para pemain dan barisan kejurulatihan melambai ke arah penyokong yang tidak henti-henti menyanyikan lagu kelab sepanjang laluan perarakan.

Kejayaan itu hadir selepas Arsenal menamatkan penantian selama 22 tahun untuk kembali bergelar juara liga, sekali gus menghidupkan semula era kegemilangan kelab London berkenaan.

Walaupun masih dibayangi kekecewaan selepas tewas dalam final Liga Juara-Juara Eropah sehari sebelum itu, sambutan di jalanan tetap berlangsung meriah, mencerminkan sokongan padu penyokong terhadap perjalanan musim yang dianggap luar biasa.

Menurut Polis Metropolitan London, kehadiran penyokong dianggarkan mencecah sekitar 1.5 juta orang, sekali gus menjadikan perarakan itu antara yang terbesar pernah direkodkan dalam sejarah bola sepak England.

Perarakan bersejarah itu turut mengukuhkan status Arsenal sebagai antara kuasa utama bola sepak England ketika ini, dengan harapan tinggi agar kejayaan musim ini menjadi permulaan kepada lebih banyak trofi pada masa hadapan. 

 

Scroll to Top