am@hmetro.com.my
Segamat: Remaja bawah umur antara 10 individu yang ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan termasuk membaling kerusi plastik dalam kejadian di Padang Awam Li Chi, Kampung Abdullah, hingga tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chat berkata, kejadian berlaku ketika pertunjukan wayang hokkien dan kugiran dalam upacara keagamaan ‘bulan tujuh’.
Beliau berkata, tangkapan ke atas semua suspek berusia 14 hingga 56 tahun dilakukan selepas video pergaduhan mereka tular di media sosial.
“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 11.58 malam, Rabu lalu ketika berlangsung upacara keagamaan di padang awam terbabit.
“Soal siasat terhadap kesemua suspek yang ditahan dan mereka mengaku terbabit dalam pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan.
Swie Chat berkata, susulan kejadian itu, polis membuka kerta siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Katanya lagi, polis turut merampas beberapa kerusi plastik yang dipercayai senjata digunakan semasa kejadian berlaku.
“Permit lesen pertunjukan wayang dan kugiran bagi upacara keagamaan juga dibatal serta-merta oleh Pejabat Daerah Segamat.
“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




