100 majikan satu bumbung

100 majikan satu bumbung

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kembali bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor dengan menganjurkan Karnival Kerjaya berskala mega dalam usaha merancakkan lagi pasaran buruh di negeri Harimau Selatan ini.

Karnival berlangsung selama tiga hari bermula semalam (Jumaat) dari 9 pagi hingga 5 petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu mendapat maklum balas positif daripada pengunjung terutama pencari pekerjaan.

Bagi Amni Dahiyah Daud, 48, karnival kerjaya itu amat membantu dirinya yang ingin mencari pekerjaan di dalam bidang pentabiran dan kerja pejabat selepas dia yang juga orang kurang upaya (OKU) sudah dua tahun bekerja sebagai penjilid buku di Pertubuhan Pemulihan Kawasan Negeri Johor (JARO).

“Sebelum ini saya bekerja sebagai penyelia asrama selama lapan tahun dan kemudian disahkan OKU fizikal akibat tulang belakang beralih. Selama 10 tahun saya tidak boleh bekerja dan kemudian berkhidmat di JARO.

“Tetapi, itu bukan bidang saya, saya lebih berminat dengan kerja pejabat,” katanya yang memohon jawatan khidmat pelanggan di karnival kerjaya itu.

Amni Dahiyah yang tinggal di Taman Austin Duta di sini, tiba seawal 8.30 pagi dan berhadap karnival kerjaya seumpama itu dapat dianjurkan dengan lebih kerap.

“Saya memang sedang cari kerja, di karnival ini semua mudah. Mereka akan minta kita hantar resume dan mereka terangkan mengenai skop kerja.

“Tidak kira usia dan siapa pun boleh datang sama ada yang baharu mencari pekerjaan atau yang mahu tingkatkan kerjaya,” katanya.

Selain itu, bagi Hafiz Abdul Manap, 29, dari Taman Universiti, Skudai, dia mendapat tahu tentang karnival kerjaya itu menerusi media sosial.

“Saya belum pernah bekerja dan hanya berpengalaman bekerja ketika latihan amali. Saya ada mohon kerja di beberapa syarikat dan Alhamdulillah semua berjalan lancar.

“Memang karnival kerjaya sebegini dapat membantu memudahkan proses mereka yang ingin mencari pekerjaan,” katanya yang mempunyai kelulusan diploma dalam bidang perakaunan.

Muhammad Amri Haikal Abdul Aziz, 28, pula berkata, dia sedang mencari pekerjaan tetap selepas kontraknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tamat dan kini bekerja secara sambilan sebagai data analisis.

“Isteri yang beritahu ada karnival kerjaya ini, jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk datang dan mohon kerja. Saya memang suka cari kerja menerusi karnival kerana ia mengumpulkan banyak syarikat di bawah satu bumbung dan ia lebih mudah,” katanya.

Dalam karnival kerjaya kali ini, lebih 100 majikan mengambil bahagian dengan tawaran gaji RM3,000 ke atas serta 15,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perhotelan, pembinaan dan penerbangan.

Selain tawaran kerja, turut disediakan temuduga gamifikasi, ekspo produk, latihan TVET, pameran keusahawanan, forum TVET dan banyak lagi.

Esok, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dijangka dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top