Gaza: Seramai 168 doktor Palestin menerima sijil perubatan lanjutan mereka di runtuhan hospital terbesar di Gaza, Khamis lalu, lapor Al Jazeera.
Majlis konvokesyen diadakan di hadapan fasad yang musnah di Kompleks Perubatan al-Shifa, sebagai simbol ketabahan.
Doktor, yang menamakan diri mereka ‘Kohort Kemanusiaan’, menamatkan sijil Lembaga Palestin dalam keadaan luar biasa selepas dua tahun perang Israel.
Mereka menduduki peperiksaan sambil bekerja tanpa henti di dalam hospital Gaza sepanjang dua tahun kebuluran, dan ketika pemindahan paksa serta pembunuhan beramai-ramai di wilayah berkenaan.
Ada juga sesetengah graduan cedera, ditahan atau ahli keluarga mereka terbunuh sepanjang konflik itu.
Majlis digambarkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Youssef Abu al-Reish, sebagai graduasi ‘daripada rahim penderitaan, di bawah pengeboman, di tengah runtuhan dan sungai darah’.
Dalam pada itu, Pengarah Perubatan Hospital al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya berkata, Israel berusaha memusnahkan modal insan Palestin melalui serangan ke atas fasiliti kesihatan tetapi gagal.
Sementara itu, salah seorang graduan, Dr Ahmed Basil berkata, memperoleh ijazah lanjutan dalam bangunan musnah menghantar mesej bahawa Palestin mencintai kehidupan dan komited kepada kemajuan saintifik.
Majlis itu turut menampilkan kerusi kosong dengan gambar pekerja kesihatan yang terbunuh semasa perang.
Hospital Al-Shifa menjadi sasaran berulang kali sejak perang Israel bermula Oktober 2023, termasuk dua serangan besar pada November 2023 dan Mac 2024.
Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) April 2024 mendapati hospital itu tinggal sebagai ‘kulit kosong dengan kubur manusia’, dan walaupun dibaik pulih, sebahagian besarnya masih banyak terletak di dalam runtuhan.
Difahamkan, daripada 36 hospital Gaza, hanya 18 masih berfungsi sebahagiannya, dengan lebih 18,500 pesakit kritikal memerlukan pemindahan perubatan yang sukar diakses.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 70,942 rakyat Palestin terbunuh dan 171,195 cedera sejak 7 Oktober 2023.
Sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober lalu, 406 orang terbunuh, 1,118 cedera, dan 653 mayat ditemukan dari bawah runtuhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




