Warga SPRM wajib isytihar pembabitan dalam NGO – Azam Baki

Warga SPRM wajib isytihar pembabitan dalam NGO – Azam Baki

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh pelaksanaan Pelan Strategik SPRM 2026–2030 dengan menekankan aspek ketelusan dan integriti termasuk kewajipan pengisytiharan penglibatan warga kerja dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan imej dan kredibiliti agensi sentiasa terpelihara.

“Sebagai langkah memperkukuh integriti dan ketelusan, semua warga SPRM diwajib mengisytiharkan penglibatan dalam NGO.

“Ini adalah langkah proaktif bagi memastikan imej SPRM sentiasa terpelihara, lebih-lebih lagi dalam situasi di mana terdapat kes penyelewengan melibatkan NGO yang boleh memberi implikasi besar jika tidak ditangani dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM Bilangan 2, 2026 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurutnya, semua warga kerja perlu memahami dan melaksanakan strategi Three-Pronged Approach yang menjadi asas Pelan Strategik SPRM 2026-2030.

“Strategi ini merangkumi penguatkuasaan yang berkesan, pencegahan rasuah secara menyeluruh serta pengurusan organisasi yang efektif,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, warga kerja SPRM turut diseru untuk terus memperkukuh disiplin kewangan, mempertingkatkan integriti serta menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks dan mencabar.

Katanya, ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik geopolitik kini memberi tekanan kepada kos operasi jabatan sekali gus menuntut langkah penjimatan dilaksanakan secara menyeluruh, berhemah dan berdisiplin di semua peringkat organisasi.

Dalam aspek komunikasi, beliau menegaskan bahawa semua penyediaan maklumat kepada media hendaklah tepat dan melalui medium rasmi SPRM.

“Sebarang kesilapan dalam pelaporan boleh memberi kesan besar kerana isu berkaitan SPRM sentiasa mendapat perhatian meluas dan bersifat sensitif,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan teknologi, Tan Sri Azam menekankan bahawa penggunaan AI kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik dalam memperkasakan siasatan dan pendakwaan.

Katanya, penggunaan teknologi ini diyakini mampu meningkatkan produktiviti, mempercepatkan penyelesaian kes serta memperkukuh keupayaan organisasi secara keseluruhan.

Selain itu, beliau menggesa supaya warga SPRM terus meningkatkan tahap profesionalisme, termasuk kemahiran komunikasi bagi memastikan imej organisasi kekal dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa sebuah filem bertemakan antirasuah berjudul Konspirasi, terbitan Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. dengan sokongan SPRM, akan mula ditayangkan kepada umum pada 23 Mei 2026 di seluruh negara.

“Filem ini antara inisiatif baharu dalam mendekatkan masyarakat dengan realiti penguatkuasaan jenayah rasuah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top