AKPS gagalkan cubaan bawa masuk daging itik, babi, ayam tanpa dokumen sah

AKPS gagalkan cubaan bawa masuk daging itik, babi, ayam tanpa dokumen sah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Cubaan membawa masuk pelbagai produk makanan tanpa dokumen sah berjaya digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, awal pagi tadi.

AKPS KLIA dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia Border Guard (MBG) yang turut memperkukuh aspek pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

“Hasil pemeriksaan sekitar jam 1 pagi, dua bagasi milik seorang penumpang warga asing yang tiba dari China telah menemui pelbagai produk makanan yang tidak mematuhi syarat pengimportan.

“Antara barangan yang dirampas ialah daging itik sejuk beku, ayam bulat dan daging babi tanpa Permit Import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Sijil Kesihatan Veterinar daripada negara pengeksport,” kata kenyataan itu, hari ini.

AKPS berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,600.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan

Malaysia 2011 (Akta 728).

Dalam pada itu, AKPS berkata, sinergi antara pegawai AKPS dan anggota MBG telah meningkatkan kecekapan tindakan serta keberkesanan pengesanan terhadap cubaan pelanggaran undang-undang.

“AKPS akan terus memperkasa kerjasama strategik bersama MBG bagi memastikan kawalan sempadan negara sentiasa berada pada tahap optimum serta keselamatan biosekuriti negara terus terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top