PETALING JAYA: Sebanyak 1,180 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia susulan cuaca kering yang melanda sebahagian besar rantau Asia Tenggara selatan.
Keadaan itu menyebabkan kepulan asap jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara dan memasuki bahagian barat Sarawak.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, jumlah titik panas itu direkodkan menerusi imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), semalam.
Katanya, sebanyak 18 titik panas turut dikesan di Sumatera, manakala 13 lagi di dalam negara, iaitu sembilan di Sarawak serta masing-masing dua di Perak dan Sabah.
“Jerebu sederhana hingga tebal turut diperhatikan di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta bahagian tengah dan selatan Sumatera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JAS berkata, beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat dan tengah Sarawak serta bahagian barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan antara tidak sihat hingga berbahaya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau berkenaan tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan.
Berikutan peningkatan aktiviti titik panas dan keadaan jerebu yang semakin meluas, Sekretariat ASEAN mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi Rantau Selatan ASEAN berkuat kuasa sejak 27 Ogos lalu.
Tindakan itu dibuat berdasarkan hasil pemantauan, penilaian dan ramalan ASMC, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Bencana Jerebu Serantau ASEAN (MAJER ASEAN).
Setakat pukul 9 pagi ini, dua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap berbahaya, iaitu IPD Serian dengan bacaan 374 dan Samarahan (306).
Dua kawasan pula mencatatkan bacaan sangat tidak sihat, iaitu Kuching (295) dan Sri Aman (214), manakala 13 kawasan lain berada pada tahap tidak sihat.
Antaranya Sarikei (195), Sibu (188), Bintulu (180), Samalaju (172), Mukah (171), Kapit (160), Miri (155), Batu Muda (153), Johan Setia (153) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (152).
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Tanjung Malim (121), Taiping (113) dan Cheras (105), manakala 50 kawasan berada pada tahap sederhana.
Menurut JAS, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100 manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
“Operasi Pembenihan Awan (OPA) turut akan dilakukan pada bacaan sama bagi tempoh melebihi 24 jam, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai,” katanya.
JAS berkata, pihaknya turut meneruskan pemantauan kualiti udara serta mempergiat rondaan dan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), khususnya di kawasan berisiko.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 dan maksimum RM1 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN
