12 jenis tekstil Melayu, berapakah yang kita tahu?

12 jenis tekstil Melayu, berapakah yang kita tahu?

KUALA LUMPUR – Dilahirkan di Amerika Syarikat dan dibesarkan di Singapura sebelum berpindah ke Malaysia, bagi John Ang, tekstil Melayu mempunyai tarikan tersendiri yang sukar digambarkan dalam perkataan.

Disebabkan kekurangan penyelidikan mengenai tekstil di Malaysia, keadaan itu seterusnya mendorong John untuk mengumpul dan mendalami karya seni itu.

Minat yang mendalam juga menyebabkan sanggup berbelanja besar untuk membeli tekstil yang digemari.

John Ang kini mempunyai lebih 5,000 koleksi dan merumuskan tekstil Melayu kepada 12 jenis iaitu Telepuk, Ikat Loseng, Tapestri, Pelangi, Cetakan, Batik, Limar, Songket, Tenunan, Anyaman, Sulaman/Tekatan dan Renda.

Walau bagaimanapun, John berkata, usaha untuk berkongsi minat mengenai karya seni Melayu bukan sesuatu yang mudah, malahan mungkin mengundang cemuhan.

“Saya membelanjakan lebih RM1 juta untuk mengadakan satu pameran yang memaparkan lebih 700 koleksi.

“Tetapi, seorang wanita Melayu berasa marah dan memberitahu bahawa saya tidak tahu apa-apa berbanding dia yang membesar bersama kain-kain tradisi ini,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

John berkata, walaupun dia bukan Melayu dan tidak membesar dalam budaya Melayu, tetapi pendidikannya serta pengalaman dalam mengumpul dan menyelidik membolehkannya mempunyai ilmu mendalam tentang kain Melayu.

“Pengumpul yang tidak berpengalaman mungkin terbeli bahan tiruan, tetapi saya mempunyai kemahiran untuk membezakan antara yang tulen dan yang tiruan.

“Tujuan saya menganjurkan pameran bukan untuk mempamerkan hasil-hasil yang ada kepada kaum Melayu, tetapi untuk membolehkan orang dari seluruh dunia dapat menyaksikan keindahan budaya Melayu.

“Saya juga berharap kaum Melayu dapat menyedari bahawa budaya mereka sendiri seakan-akan ada sedikit terhenti dan kita harus membolehkannya terus maju ke depan,” katanya. – MalaysiaGazette