PKHP suntik semangat, beri sumbangan buat pasukan sepak takraw Perlis

KANGAR: Persatuan Komuniti Harmoni Negeri Perlis (PKHP) menghulurkan sumbangan buat pasukan sepak takraw negeri bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Penyerahan sumbangan beg kasut itu disampaikan oleh Penaung PKHP, Firdaus Abd Razak kepada Pengurus Pasukan Sepak Takraw Lelaki Perlis, Mohd Masri Saidin.

Menurut Firdaus, seramai 25 atlet sepak takraw menerima sumbangan berkenaan sebagai pembakar semangat buat mereka bagi menghadapi temasya itu.

“Kita harap semua perancangan akan berlangsung dengan baik dan atlet-atlet sepak takraw negeri ini juga dapat meraih pingat walaupun berdepan banyak rintangan serta dugaan sampai ke titik akhir.

“Sebab itu jugalah saya dengan PKHP tampil untuk memberi sedikit bantuan agar pasukan ini lebih bersemangat dan memaksimumkan lagi prestasi,” katanya di sini semalam.

Pada temasya Sukma Sarawak 2024, pasukan sepak takraw negeri berjaya meraih satu pingat perak bagi kategori double wanita dan gangsa bagi kategori quadron lelaki.

Firdaus berkata, pihaknya berharap agar para atlet terlibat dapat membuat persediaan sebaiknya bagi memberikan prestasi terbaik menghadapi Sukma Selangor 2026.

“Kita mahukan agar semangat atlet-atlet ini sentiasa konsisten sehingga ke saat akhir nanti agar mereka dapat memberikan aksi terbaik,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top