Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Tan Sri M. Kayveas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz sebagai Presiden Parti Progresif Rakyat (myPPP).
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Lim Chong Fong, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Peguam Gavin Jayapal yang mewakili pemegang jawatan awam myPPP Datuk Dr Loga Bala Mohan dan peguam M. Manoharan yang mewakili Kayveas mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi Bernama.
Hakim Hock Leng yang membacakan keputusan sebulat suara itu berkata Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat bahawa perkara itu tidak boleh diputuskan oleh mahkamah berikutan peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan.
Beliau berkata memandangkan Kayveas bukan lagi ahli parti, sebarang penghakiman yang dibuat hanya bersifat akademik.
Mahkamah, katanya, menyedari bahawa tahap ambang untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman adalah rendah, namun permohonan perayu adalah remeh dan tidak melepasi ambang berkenaan.
Pada 20 Nov 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Kayveas untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.
Dalam permohonannya, beliau memohon untuk membatalkan keputusan oleh Badrul Hisham Alias daripada Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri yang mewakili Menteri Dalam Negeri menerusi surat bertarikh 11 April 2023, yang menarik balik pembatalan pendaftaran parti itu.
MyPPP dibatalkan pendaftarannya pada 14 Jan 2019 susulan pertikaian antara ahli atau pemegang jawatan parti.
Kayveas turut memohon agar Mesyuarat Agung Tahunan parti berkenaan yang diadakan pada 19 Mac 2023 yang menyaksikan D’Cruz dilantik sebagai Presiden myPPP, sebagai batal dan tidak sah.
Dr Loga Bala turut diwakili peguam Parveena Kaur pada prosiding di Mahkamah Rayuan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Muhammad Muhairi Mohamed Noh mewakili Menteri Dalam Negeri. Selain Manoharan, peguam Ganendra Manoharan turut mewakili Kayveas.
© New Straits Times Press (M) Bhd
