KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu dipercayai penagih dadah ditahan dalam Op Tapis di sekitar perumahan Flat 610 Pandan Indah dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua individu yang berusia 20 hingga 54 tahun itu ditahan dalam operasi itu antara jam 10 pagi hingga 5 petang.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ampang telah menaha lapan warga tempatan dan lima warga asing dalam Op Tapis itu.
“Ia dilaksanakan setelah menerima maklumat dari orang awam di mana penagih-penagih menjadikan rumah kosong untuk dijadikan tempat menghisap dadah.
“Op Tapis ini dilaksanakan dengan kekuatan dua pegawai serta 12 anggota PDRM dan lapan anggota AADK,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal juga mendapati kesemua individu warga tempatan mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.
“Bagi warga asing siasatan pengesahan identiti dokumen masih dalam tindakan lanjut.
“Ujian air kencing ke atas semua saspek dapati positif dadah jenis Opiate dan Methamphetamine,” katanya.
Katanya, kesemua suspek telah direman untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis menyarankan agar orang awam boleh menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membanteras dadah amnya di kawasan Ampang Jaya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. – MalaysiaGazette




