KUALA LUMPUR – Kelab Muaythai Ara buat julung-julung kalinya menganjurkan Kejohanan AMG Challenge 2021 yang akan disiarkan secara dalam talian pada Sabtu ini.
Kejohanan itu berlangsung pada jam 8 malam itu boleh diikuti secara langsung di Facebook dan saluran Youtube Ara Fight Promotion.
Peluang penganjuran Kejohanan AMG Challenge ini pastinya unik kerana buat pertama kalinya berlangsung secara hibrid di lapangan.
Penganjur berkata, kejohanan itu dapat direalisasikan susulan kebenaran penganjuran kejohanan sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut penganjur, kejohanan kali ini disertai oleh atlet-atlet sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sahaja sahaja disebabkan larangan rentas negeri dan jumlah penyertaan yang terhad bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.
Meskipun begitu, kejohanan ini mendapat sambutan memberansangkan kerana ramai atlet tidak melepaskan peluang ini untuk bertanding selepas lebih setahun tidak beraksi dalam pertandingan Muaythai.
Peserta yang akan bertanding dalam kejohanan ini terdiri dari atlet-atlet hebat Muaythai daripada 10 buah gimnasium iaitu Red Wolves Muaythai, Jordan Top Team, Singa Malaya, Warisan Muaythai, Sharks Muaythai, MFCK, Malaya Boxing, Hallo Fight Lab, dan wakil Kelab Muaythai Ara sendiri.
Berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Kelab Muaythai Ara memulakan kegiatannya dalam Muaythai juga pengendalian gimnasium sejak 2016 dan terkenal dengan pengalaman dalam penganjuran program dan kejohanan sukan seni bela diri di seluruh Malaysia.
Sehingga kini, terdapat lebih daripada 1,000 orang ahli berdaftar dengan kelab ini. – MalaysiaGazette




