syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah jeti di kawasan komuniti penternakan kupang dan nelayan di Sungai Balang Laut bertukar menjadi pawagam terbuka apabila kira-kira 130 penduduk berkumpul untuk menonton filem Bukit Kepong di bawah langit malam, Sabtu lalu.
Jumlah kehadiran itu jauh melebihi jangkaan penganjur yang pada awalnya menjangkakan hanya sekitar 50 penduduk akan hadir untuk menyertai program Wayang Pacak di Laman Kupang.
Difahamkan, menjelang sambutan Hari Malaysia, keluarga daripada pelbagai generasi duduk bersama di tepi air untuk menyaksikan filem sejarah Malaysia yang mengisahkan tragedi Bukit Kepong pada 1950.
Bagi sesetengah penduduk, suasana itu mengembalikan kenangan ketika keluarga suatu ketika dahulu sering berkumpul di kawasan terbuka untuk menonton wayang bersama-sama.
Bagi generasi muda pula, tayangan itu memberi peluang untuk menghayati sejarah Malaysia dalam suasana berbeza dengan melihat kisah berkenaan dihidupkan bersama keluarga dan komuniti.
Pengasas YouthLabs Social Hub, Kamariah Shakirin Mustafa dalam kenyataan berkata, program ini adalah satu peluang untuk mendekatkan sejarah kepada generasi muda termasuk menjadi peringatan kepada anak-anak tentang pengalaman serta pengorbanan generasi terdahulu.
Katanya, idea berkenaan tercetus selepas menyedari Muar kini tidak mempunyai pawagam, sekali gus mendorongnya membawa pengalaman menonton filem terus kepada komuniti.
“Kita belajar tentang sejarah di sekolah, tetapi saya mahu anak-anak menghayatinya dengan cara yang berbeza, duduk bersama keluarga dan jiran-jiran sambil melihat kisah ini dihidupkan di depan mata.
“Hari Malaysia adalah masa untuk kita mengingati dari mana kita datang dan mereka yang mendahului kita. Saya juga terfikir, kenapa tidak kita bawa pawagam kepada komuniti?” katanya dalam kenyataan.
Kamariah Shakirin yang juga cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata, pemilihan Bukit Kepong dibuat bersama penduduk selepas beliau berbincang dengan komuniti mengenai filem yang sesuai ditonton menjelang Hari Malaysia.
“Muar mempunyai begitu banyak ruang yang sudah menjadi milik komuniti, kita tidak semestinya perlu membina sesuatu yang baharu. Kadang-kadang kita hanya perlu melihat apa yang sudah ada dan membawa masyarakat bersama-sama di ruang berkenaan,” katanya.
Program itu dicetuskan Kamariah Shakirin bersama Ketua Kampung Sungai Gersik, Tok Syahroni Dulah Hussein dengan kerjasama Penghulu Mukim Sungai Balang, Pejabat Penerangan Daerah Muar, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Gersik, YouthLabs Social Hub, Persatuan Nelayan Sungai Balang Laut, Ruang Daya Cipta (RDC) Muar serta komuniti setempat.
Suasana turut dimeriahkan dengan barbeku apabila penduduk membakar kupang, ikan dan ayam di atas api terbuka sebelum berkumpul di tepi air untuk menonton filem dan menyertai cabutan bertuah.
Tayangan di Sungai Balang itu menjadi Wayang Pacak pertama di bawah siri ‘Muo for Muar’ yang diperkenalkan Kamariah Shakirin dengan tayangan seterusnya dirancang di beberapa komuniti dan lokasi lain di seluruh Muar.
© New Straits Times Press (M) Bhd

