Status Kerajaan Negeri Sembilan berada dalam keadaan getir apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menguasai 14 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menarik sokongan hari ini.
Keputusan sebulat suara menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah rentetan kepada krisis adat yang berlaku di negeri itu ketika ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, makluman mengenai penarikan sokongan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, hari ini.
“Saya bersama 14 ADUN yang mewakili UMNO dan BN Negeri Sembilan sangat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku yang dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.
“Justeru, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan, dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya yang juga ADUN Pertang dalam sidang akhbar.
Kesemua ADUN UMNO dan BN turut menghadiri sidang akhbar itu kecuali ADUN Rantau yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, UMNO dan BN membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) dengan keseluruhan 31 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.
Daripada jumlah kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri, PH menguasai 17 kerusi iaitu DAP (11), PKR (lima) dan Amanah (satu), manakala UMNO dan BN memiliki 14 kerusi.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau dalam menangani krisis berkenaan yang semakin memuncak.
Beliau mendakwa EXCO kerajaan negeri mewakili UMNO dan BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis adat itu apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum.
Beliau yang juga EXCO Kanan kerajaan negeri berkata, UMNO dan BN negeri mendokong penuh dan mempertahankan institusi adat dan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Kita mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri, sekali gus dapat fokus kepada objektif mensejahterakan rakyat dan ekonomi negeri,” tegasnya.
KREDIT GAMBAR UTAMA: AWANI




