Rekrut, eksploitasi mangsa tak kira usia

Rekrut, eksploitasi mangsa tak kira usia

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tawaran percutian percuma, kerja bergaji lumayan dan jawatan menarik di luar negara menjadi umpan sindiket untuk memperdayakan individu menjadi ‘keldai dadah’.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket akan merekrut individu untuk dijadikan ‘keldai dadah’ melalui media sosial dan aplikasi komunikasi.

Beliau berkata, individu terbabit diumpan dengan dijanjikan pakej percutian percuma, tiket dan penginapan ditaja serta peluang pekerjaan sah seperti pengurus hotel atau ejen pemasaran dengan gaji lumayan dalam masa singkat.

“Mangsa dijanjikan upah antara RM1,000 hingga RM10,000 termasuk tawaran tiket penerbangan dan penginapan bagi melaksanakan kerja mudah tanpa memerlukan sebarang pengalaman.

“Terdapat juga yang dijadikan kurier kononnya untuk membawa dokumen atau barangan peribadi apabila manipulasi bermula sebaik sahaja mangsa bersetuju membawa bungkusan tertentu yang sebenarnya mengandungi dadah,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Hussein berkata, kebiasaannya taktik yang digunakan oleh sindiket adalah menyembunyikan dadah pada badan, menelan ketulan dadah, menyimpan dalam bagasi atau ruang rahsia selain transit ke negara ketiga untuk mengambil dadah dan dihantar ke negara destinasi.

“Sindiket dadah akan sentiasa mencari mangsa baharu dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pekerjaan atau latar belakang.

“Jumlah warganegara Malaysia ditahan di luar negara dari 2023 hingga Mac lalu kerana disyaki terbabit sebagai keldai dadah adalah seramai 191 orang,” katanya.

Menurutnya, 17 negara dikenal pasti menjadi sasaran sindiket untuk menyeludup dadah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dengan mengupah individu menjadi keldai dadah membabitkan 77 tangkapan.

“Negara tertinggi jumlah tangkapan 13 orang dalam tempoh 2025 hingga Mac lalu adalah Singapura diikuti Indonesia (12), Taiwan (10), Thailand (8), Kemboja (6), Filipina (5), Macau (5), Korea Selatan (3) dan Laos (3). Selain itu, negara lain Belgium (3), Hong Kong (2), Maldives (2), Norway (1), Myanmar (1), Jepun (1), Jordan (1), dan Maghribi (1),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top