Sindiket sasar golongan terdesak dapatkan sumber kewangan segera

Sindiket sasar golongan terdesak  dapatkan sumber kewangan segera

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Golongan pencari kerja, belia, pelajar dan individu yang mempunyai pendapatan tidak stabil menjadi sasaran sindiket untuk merekrut mereka menjadi ‘keldai dadah’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata, kumpulan ini dikenal pasti sebagai sasaran utama sindiket berikutan tahap rentan yang tinggi daripada segi ekonomi, sosial dan psikologi.

Menurutnya, golongan pencari kerja dan individu berpendapatan tidak menentu kebiasaannya berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan segera.

“Keadaan ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat tanpa memerlukan kelayakan khusus.

“Sindiket mengambil kesempatan dengan menawarkan peranan sebagai penghantar barangan atau runner sedangkan hakikatnya membabitkan aktiviti penyeludupan dadah,” katanya.

Beliau berkata, golongan belia dan pelajar turut menjadi sasaran kerana kurang pengalaman hidup, tahap kesedaran yang rendah terhadap risiko undang-undang serta kecenderungan untuk mencuba peluang baharu.

“Mereka juga lebih mudah dipengaruhi melalui medium media sosial termasuk taktik penipuan seperti hubungan romantik (love scam) dan tawaran melancong percuma.

“Secara keseluruhannya, sindiket dadah mengeksploitasi kelemahan kumpulan ini melalui pendekatan manipulasi ekonomi dan emosi, seterusnya menjadikan mereka sebagai perantara dalam rangkaian pengedaran dadah tanpa membabitkan mereka secara langsung dalam struktur utama sindiket,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat dinasihatkan sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu dan segera melaporkan sebarang tawaran meragukan kepada polis.

“Masyarakat juga diingatkan bahawa alasan ‘tidak tahu kandungan bagasi’ tidak diterima oleh kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah yang sangat tegas termasuk hukuman mati dan penjara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top