Insiden tembakan di Washington tidak jejas lawatan Raja Charles III ke AS

Insiden tembakan di Washington tidak jejas lawatan Raja Charles III ke AS

LONDON: Istana Buckingham mengesahkan lawatan negara Raja Charles III ke Amerika Syarikat (AS) akan diteruskan mengikut jadual pada Isnin, meskipun berlaku insiden tembakan di majlis makan malam yang dihadiri Presiden, Donald Trump.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan teliti antara pihak Istana dengan pegawai keselamatan AS.

Raja Charles dan Permaisuri Camilla dijadualkan tiba untuk lawatan selama empat hari, namun rancangan tersebut sebelum ini dipersoal selepas seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan berhampiran majlis makan malam Persatuan Koresponden Rumah Putih pada Sabtu.

Insiden itu memaksa ejen Perkhidmatan Rahsia membawa Trump keluar dari lokasi kejadian demi keselamatannya.

Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche menyatakan keyakinan bahawa tahap keselamatan Raja Charles adalah terjamin sepanjang lawatan tersebut.

Lawatan empat hari ini dianggap sangat penting untuk mengukuhkan semula hubungan AS-Britain yang kini agak tegang ekoran perbezaan pendapat mengenai perang Iran.

Agenda lawatan termasuklah pertemuan peribadi dengan Trump dan ucapan di hadapan Kongres sempena sambutan 250 tahun kemerdekaan AS.

“Susulan perbincangan antara kedua-dua pihak sepanjang hari ini, kami mengesahkan lawatan negara oleh Baginda berdua akan diteruskan seperti yang dirancang,” jelas jurucakap Istana Buckingham.

Pihak Istana turut memaklumkan Raja Charles berasa lega kerana Trump, isteri, serta tetamu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Raja Charles dan Permaisuri Camilla juga sudah menghubungi Trump serta isterinya, Melania Trump secara peribadi bagi menzahirkan rasa simpati mereka.

Lapor Reuters, meskipun jadual utama dikekalkan, sumber istana membayangkan mungkin terdapat sedikit perubahan teknikal pada satu atau dua aktiviti bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.

Scroll to Top