
Sekurang-kurangnya 16 maut dan 10 cedera akibat serangan geng “Gran Grif” di Haiti. – Foto: Reuters
PANAMA CITY – Sekurang-kurangnya 16 maut dan 10 yang lain cedera dalam siri serangan geng “Gran Grif” di kawasan kejiranan Jean Denis di wilayah Artibonite Haiti, kata polis Haiti pada Isnin, manakala pegawai tempatan menyatakan angka kematian sekitar 70 orang, lapor Xinhua.
Serangan berlaku pada malam Sabtu hingga awal Ahad, dengan keganasan dilaporkan turut tercetus awal pagi Isnin, lapor media tempatan.
Lelaki bersenjata menyasarkan penduduk dan membakar beberapa rumah, memaksa sejumlah besar orang melarikan diri dan menyebabkan kecederaan teruk serta kerosakan harta benda, menurut laporan itu.
Polis Negara Haiti berkata 16 kematian dan 10 kecederaan telah disahkan berdasarkan maklumat terkini.
Pihak berkuasa berkata angka sebenar mangsa masih menunggu pengesahan kerana beberapa kawasan masih sukar untuk diakses dan masih terdapat kematian yang belum direkodkan.
Pegawai tempatan memberitahu media serangan itu membunuh kira-kira 70 orang dan mencederakan ramai yang lain, memberi amaran bahawa jumlah kematian dijangka meningkat.
Sesetengah mangsa mungkin kekal di dalam rumah yang terbakar sekali gus merumitkan pengiraan, kerana beberapa laporan media mencadangkan jumlah kematian boleh melebihi 85.
Haiti bergelut dengan keadaan keselamatan yang semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila kumpulan bersenjata meluaskan kawalan mereka merentasi pelbagai wilayah dan insiden ganas semakin kerap berlaku. – Bernama
— BERNAMA-XINHUA
TAG: Haiti, geng Gran Grif, serangan, 16 terbunuh
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 16 maut dan 10 cedera akibat serangan geng “Gran Grif” di Haiti. Serangan berlaku dari malam Sabtu hingga awal pagi Ahad, dengan keganasan berterusan pada hari Isnin. Lelaki bersenjata menyerang penduduk dan membakar rumah, menyebabkan kerugian harta benda. Polis mengesahkan 16 kematian setakat ini, tetapi angka sebenar masih menunggu pengesahan. Pegawai tempatan menganggarkan sekitar 70 kematian dan jumlah kematian dijangka meningkat.



