am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kos rawatan perubatan yang semakin membebankan sering menjadi penghalang bagi golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Menyedari keperluan mendesak itu, Yayasan UEM iaitu sayap kebajikan UEM Group Berhad (UEM Group) menyumbang sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan program Bantuan Perubatannya tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM13.9 juta sejak ia diperkenalkan pada 2014.
Malah program yang memasuki tahun ke-12 itu juga sudah memberi manfaat kepada lebih 1,600 pesakit kurang berkemampuan di seluruh negara.
Tahun ini, inisiatif ini diperluaskan lagi dengan penyertaan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) sebagai rakan strategik keempat, menyertai tiga hospital sedia ada iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Setiap hospital akan menerima sumbangan RM500,000 yang akan digunakan bagi mendapatkan kelengkapan perubatan seperti perentak jantung dan peralatan pernafasan, ubat-ubatan, menampung kos rawatan termasuklah kemoterapi serta pembedahan kritikal yang menelan belanja tinggi bagi para pesakit kurang berkemampuan di setiap hospital tersebut.
Bagi HRC, sumbangan tahun ini akan digunakan khusus untuk mendapatkan peralatan Transcranial Magnetic Stimulation (TMS) iaitu teknologi rawatan pemulihan neurologi selain menampung kos rehabilitasi pesakit secara berterusan ke arah pemulihan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM Aishah Nor berkata, usaha itu sebahagian daripada komitmen pihaknya bagi menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti khususnya bagi golongan kurang berkemampuan.
Katanya, meskipun negara memperlihatkan kemajuan dalam bidang perubatan, hakikatnya masih wujud jurang dalam akses kepada penjagaan kesihatan, apatah lagi dengan kesan pandemik Covid-19 dan tekanan inflasi serta kos perubatan semakin meningkat.
Jelasnya, kisah menyayat hati seorang kanak-kanak yang memerlukan pembedahan otak segera meninggal dunia 11 tahun lalu kerana tidak dapat menjalani rawatan berikutan kos terlalu tinggi mencetuskan iltizam Yayasan UEM untuk menyokong usaha Kerajaan membantu pesakit yang memerlukan rawatan perubatan, sekali gus menjadi titik tolak bermulanya Program bantuan Perubatan.
“Kami percaya setiap individu berhak mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan tanpa mengira latar belakang.
“Atas semangat ini, kami menyokong usaha kerajaan dalam memastikan sistem sokongan perubatan yang lebih inklusif dan berterusan.
“Harapan kami, sumbangan ini dapat membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Program Bantuan Perubatan Yayasan UEM, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Sri Suriani Ahmad, Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Nor’Aishah Abu Bakar serta Pengarah Urusan UEM Group merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Sementara itu, Suriani berkata, sumbangan ini amat bermakna kerana HRC iaitu satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menawarkan pemulihan menyeluruh untuk pesakit strok, kecederaan saraf tunjang, amputasi dan lain-lain kondisi memerlukan intervensi jangka panjang.
Katanya, pembangunan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan pihak luar.
“Justeru, KKM sangat menghargai pembabitan syarikat korporat seperti Yayasan UEM yang bukan saja menyumbang peralatan, tetapi turut memastikan pesakit tidak tercicir daripada mendapatkan rawatan.
“Sinergi sebegini sangat penting dan perlu diperluas untuk memastikan kelangsungan kesihatan rakyat yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




