1MDB tarik balik saman AS$1 bilion

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menarik balik saman AS$1 bilion yang difailkan terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya, Brian Chia Hock Gee.

Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh pihak media menerusi sistem kehakiman hari ini, dinyatakan 1MDB selaku plaintif menarik balik samannya terhadap kedua-dua defendan itu, pada 19 Julai lalu.

Draf yang diluluskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Aisyah Ahmad turut menyatakan writ saman itu ditarik balik dan dibatalkan tanpa kebebasan, untuk plaintif memfailkan semula tuntutan saman dan tiada perintah terhadap kos.

1MDB menerusi writ samannya yang difailkan pada 7 Mei lalu mendakwa kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan melanggar kewajipan statutori, terhadap syarikat itu bagi pihak Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta sekutu mereka, sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1 bilion.

1MDB menuntut ganti rugi US$1 bilion serta pembayaran fi perundangan RM664,821.21.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd, memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu, iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti, termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu, manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd