Kementerian Kesihatan tanggung RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak kira-kira 14,000 doktor perubatan, pergigian dan pegawai farmasi, bagi tempoh dua tahun (atau 7,000 setiap kohort/tahun) yang akan membabitkan implikasi kewangan RM1.2 bilion

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini susulan keputusan kerajaan supaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak selama dua tahun, selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta persediaan untuk mengikuti pengajian pada peringkat kepakaran.

“Kerajaan sangat prihatin terhadap tuntutan kumpulan petugas kesihatan kontrak itu dan sedar mengenai sumbangan serta peranan mereka sebagai barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya dalam sesi soal jawab mengenai Program Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak bagi tempoh maksimum empat tahun untuk kalangan pegawai perubatan dan pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan dapat melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Selain itu, Tengku Zafrul memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan merangka satu pelan menyeluruh dan inklusif yang merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang, bagi hala tuju perkhidmatan perubatan.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd