OLIMPIK: Zii Jia beri tumpuan jumpa Leverdez

OLIMPIK: Zii Jia beri tumpuan jumpa Leverdez

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia harus memberi sepenuh tumpuan bagi mengharungi perlawanan terakhir Kumpulan M menentang bintang Perancis, Brice Leverdez yang pernah menewaskan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Rabu ini.

Leverdez yang ketika ini berada di ranking ke-36 dunia pernah mengejutkan Chong Wei di dua kejohanan iaitu di Kejohanan Dunia 2017 dan Terbuka Denmark 2016.

Namun kekalahan di tangan Leverdez pada 2017 masih segar dalam ingatan apabila menyaksikan Chong Wei tumpas pada seawal pusingan pertama Kejohanan Dunia 2017, dengan keputusan 19-21, 24-22, 17-21.

Tentunya pertemuan Zii Jia-Leverdez di Musashino Forest Sport Plaza, Rabu ini, bakal mengimbau kembali detik hitam itu dan Zii Jia bakal memikul tanggungjawab besar bagi meneruskan legasi perjuangan Chong Wei di Olimpik.

Begitupun, Zii Jia berkata, persediaan sudah dilakukan secukupnya bagi mengharungi perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan Leverdez selepas menewaskan pemain Ukraine, Artem Pochtarov 21-5, 21-11, semalam.

“Sebelum datang (ke Tokyo) saya sudah banyak berbincang mengenai strategi untuk melawan Brice Leverdez ini,” kata Zii Jia. “Dalam dua hari ini, saya mempunyai rehat yang cukup dan akan berlatih lagi bagi mempersiapkan diri untuk perlawanan dengan Brice Leverdez ini.”

Zii Jia, 23, yang membuat penampilan pertama di Olimpik itu, perlu memenangi aksi bertemu Leverdez untuk muncul juara kumpulan sekali gus layak ke pusingan kalah mati.

Juara Seluruh England 2021, tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan Pochtarov, menewaskan pemain di ranking ke-98 dunia itu dalam tempoh 25 minit.

Mengulas mengenai perlawanan pertama peringkat kumpulan itu, Zii Jia berkata: “Pertama, memang sangat gembira kerana dapat bertanding di Olimpik pertama saya.

“Lawan banyak melakukan kesilapan dan seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya akan mengambil setiap perlawanan dengan serius, tak kira lawan bagus ataupun tidak dan disebabkan itu, saya tak banyak membuang banyak masa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top