2 individu tiba di mahkamah untuk pertuduhan kes bunuh penuntut universiti

2 individu tiba di mahkamah untuk pertuduhan kes bunuh penuntut universiti

surayaroslan@mediaprima.com.my

Sepang: Dua individu tiba di Mahkamah Sepang di sini, hari ini, untuk didakwa atas tuduhan membunuh penuntut universiti di Cyberjaya, 24 Jun lalu.

Dua individu itu, masing-masing lelaki dan wanita, tiba menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Polis Diraja Malaysia pada 8.55 pagi dengan kawalan ketat pihak berkuasa.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mereka akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek utama iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20 tahun akan dituduh di mahkamah pada 8.30 pagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 24 Jun lalu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi Maniishapriet Kaur, 20, dari Sarawak, ditemukan mati di unit kediaman kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada 10 pagi.

Susulan itu, beberapa suspek ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian menerusi serbuan di Johor dan Melaka.

Pada 3 Julai lalu, media melaporkan tiga suspek kes pembunuhan itu disambung reman tujuh hari sehingga Khamis.

Ketiga-tiga suspek itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 27 Jun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top