Rebah kali kedua di atas padang, Musiala alami masalah neurologi

Berlin: Pemain tengah Bayern Munich, Jamal Musiala mendedahkan dia mengalami gangguan neurologi selepas rebah buat kali kedua dalam tempoh tiga hari ketika aksi pramusim, semalam.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 23 tahun itu tiba-tiba terbaring di atas padang hanya beberapa minit selepas masuk sebagai pemain gantian lewat dalam aksi persahabatan menentang Heidenheim. Kejadian sama turut berlaku Sabtu lalu ketika Bayern menewaskan RB Leipzig di laman sendiri.

Dalam perlawanan di Heidenheim semalam, Musiala kelihatan terpinga-pinga ketika menerima rawatan sebelum dibantu keluar dari padang.

Musiala kemudian mendedahkan di media sosial bahawa dia mengalami gangguan yang boleh menyebabkan “sawan sementara tetapi boleh dirawat.”

“Saya didiagnosis mengalami episod kehilangan kesedaran yang singkat dan sementara yang mudah dirawat serta berpunca daripada gangguan neurologi,” kata Musiala.

“Keadaan ini boleh menyebabkan detik seperti yang berlaku baru-baru ini, ketika menentang Leipzig dan kini di Heidenheim.

“Saya tahu keadaan ini mungkin kelihatan menakutkan pada pandangan pertama, tetapi bagi saya, buat masa ini ia hanyalah sebahagian daripada kehidupan seharian.”

Musiala turut berkata dia “amat berterima kasih” atas semua mesej dan sokongan yang diterimanya.

“Saya menerima rawatan perubatan terbaik dalam perkara ini dan saya sangat optimistik,” katanya.

Selepas perlawanan, pengarah sukan Bayern, Max Eberl, berkata Musiala akan memberikan penjelasan mengenai keadaannya tidak lama lagi.

“Jamal akan bercakap mengenai perkara ini dalam masa terdekat. Kami sudah mengetahui mengenainya dan sedar akan situasi ini,” kata Eberl.

“Jamal akan tampil memberikan penjelasan.”

Pada Sabtu lalu, Musiala rebah di atas padang ketika menentang Leipzig dan memerlukan rawatan dalam keadaan cuaca panas di ibu negara Bavaria itu, dengan suhu ketika itu melebihi 30 darjah Celsius.

Musiala terlepas enam bulan pertama musim lalu akibat patah buku lali yang dialaminya ketika Piala Dunia Kelab, sebelum kembali beraksi pada separuh kedua musim dan mewakili Jerman di Piala Dunia 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top